Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menambah sejumlah  2,000 keping tiket perlawanan terakhir kumpulan A Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2018 antara  Malaysia menentang Myanmar di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu ini.

Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam berkata, penyokong Harimau Malaya boleh mendapatkan  tiket berharga RM20 (tempat duduk terbuka) di cawangan Al-Ikhsan Sports atau pembelian dalam talian di www.tickethotline.com.my bermula hari ini.

“Selain itu, FAM turut mengambil inisiatif tambahan bagi memudahkan para penyokong Harimau Malaya membeli tiket dengan membuka kaunter khas di Wisma FAM, Kelana Jaya bermula Selasa ini (20 Nov) hingga Khamis (22 Nov) dari pukul 10 pagi hingga 5 petang.

“FAM juga dalam perbincangan dengan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bagi mendapatkan kebenaran membuka kaunter jualan tiket di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa ini bersempena dengan cuti umum Maulidur Rasul bagi memberi lebih pilihan kepada penyokong Harimau Malaya membeli tiket lebih awal. Maklumat lanjut akan dimaklumkan dalam masa terdekat selepas mendapat pengesahan,” katanya  dalam kenyataan hari ini.

Stuart berkata, kaunter tiket di Stadium Nasional, Bukit Jalil akan dibuka seperti biasa iaitu pada hari Jumaat (23 Nov) dari 10 pagi hingga 5 petang dan juga pada hari perlawanan iaitu Sabtu (24 Nov) bermula dari  10 pagi hingga sepak mula perlawanan.

“FAM berharap para penyokong Harimau Malaya dapat hadir beramai-ramai pada perlawanan ini kerana skuad Harimau Malaya memerlukan kemenangan ke atas Myanmar untuk melangkah ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2018 dan sudah tentu, kelebihan beraksi di gelanggang sendiri perlu dimanfaatkan dengan bantuan sorakan padu daripada puluhan ribu penyokong Harimau Malaya,” jelasnya. – MalaysiaGazette