Perwakilan Melaka, Shamsul Iskandar berucap pada Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ke-13 di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 18 NOVEMBER 2018.

SHAH ALAM – Naib Presiden PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menasihatkan  ahli-ahli parti itu supaya menghentikan tindakan ‘mencucuk’ hubungan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau turut mengingatkan para anggota dan perwakilannya supaya tidak menjadi “Si Kitul”.

Sepatutnya, kata beliau, Kongres Nasional parti kali ini patut dijadikan sebagai platform menamatkan hasutan individu yang menjadi “Si Kitul”.

“Janganlah cucuk-mencucuk hubungan Tun M dan Anwar..hubungan mereka terjalin lebih 30 tahun lalu. Tidak perlu laga-lagakan Mahathir dan Anwar…biar kongres hari ini menjadi penamat kepada cucukan ‘Si Kitul’.

“Jangan biar ada Si Kitul moden dalam PKR dan Pakatan Harapan, sekarang PM Tun M, lepas ini Anwar pula,” katanya semasa penggulungan Kongres Nasional PKR Ke-13 di sini.

Katanya, perwakilan dan pihak yang bersikap begitu seharusnya memadam niat buruk berkenaan dan membantu parti dalam mensejahterakan rakyat dan pentdbiran kerajaan Malaysia baharu.

Timbalan Menteri Industri Utama itu juga menyarankan agar pengkhianat itu berhenti mengkhianati dan mencabul perjuangan parti yang mahu mereformasikan negara dan rakyat.

Beliau juga mengingatkan para ahli dan perwakilan bahawa tiada lagi dua kem dalam parti dan hanya satu pasukan iaitu pasukan Anwar sambil mengajak semua perwakilan bersatu meneruskan perjuangan reformasi dalam mensejahterakan rakyat.

“Ingat yer semua.. ada dialog pelakon Tamil Rajinikanth sebut dalam filem popular Baasha, saya cakap sekali umpama sebut 100 kali.. tiada dua kem lagi,” katanya dalam bahasa Tamil sambil diiringi tepukan gemuruh perwakilan dan senyuman Anwar Ibrahim yang mendegar penggulangannya.

Dalam perkembangan berkenaan, beliau berkata, reformasi PKR yang diperjuangan selama lebih 20 tahun berjaya didokumentasikan dalam bentuk dasar kerajaan menerusi Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) di Dewan Rakyat.

“Apa yang perlu dilakukan kita sekarang ialah lupakan dan keluar dari kepompong pembangkang dan bersikaplah sebagai kerajaan,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette