Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli beramah mesra bersama sebahagian perwakilan yang hadir sebaik selesai menghadiri Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ke-13 di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 17 NOVEMBER 2018.

SHAH ALAM – Bekas Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata kepimpinan parti yang baharu  dilantik perlu diberikan masa membuktikan mereka mampu menjalankan tugas untuk memperjuangkan dan membela rakyat.

Jika tidak, katanya, barisan kepimpinan yang ada pada hari ini bakal berhadapan dengan kekalahan pada pemilihan yang akan datang.

“Mereka hanya menjadi pasu bunga, bertanding untuk dapat jawatan kemudian tidak ada buat apa-apa untuk rakyat.

“Ini proses biasa (pemilihan) pimpinan baharu ada tugas besar mesti mendokong hasrat dan keputusan parti supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri. Kedua mereka akan dinilai berdasarkan bagaimana mereka membela rakyat biasa, yang miskin, yang susah.

“Rakyat tidak boleh tidak merasai perjuangan mereka kerana itulah cara mereka dinilai.

“Lebih adil kita berikan mereka masa untuk buktikan sejauh mana mereka berkesan, itu cantiknya demokrasi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC).

Dalam pada itu Rafizi yang kalah dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR kepada  Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan beliau tidak mahu menggalas jawatan dalam kerajaan.

Bagaimanapun, Rafizi yang kini tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam parti selepas kalah dalam pemilihan menyerahkan keputusan kepada Anwar untuk membuat pertimbangan.

“Saya ingat yang terbaik, kita kena tunggu keputusan Datuk Seri. Saya memang dah sebut dari awal saya tidak mahu memegang apa-apa jawatan awam maksudnya kerajaan atau wakil rakyat untuk tempoh dua tahun.

“Tapi kalau atas permintaan, itu kuasa yang Datuk Seri ada dan saya serahkan kepada dia jadi kita kena tunggu,” beliau berkata, -MalaysiaGazette