Ketua DAP Selangor, Tony Pua mengesahkan bahawa beliau tidak akan mempertahan jawatannya dalam pemilihan parti peringkat negeri pada 9 Disember akan datang.
Ketua DAP Selangor, Tony Pua mengesahkan bahawa beliau tidak akan mempertahan jawatannya dalam pemilihan parti peringkat negeri pada 9 Disember akan datang.
KUALA LUMPUR – Sudah wujud petanda bahawa orang-orang lama dalam DAP mula mencabar kepimpinan sedia ada di peringkat negeri apabila veteran parti Dr. Boo Cheng Hau kembali ke dalam barisan kepimpinan DAP Johor, walaupun Liew Chin Tong yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berjaya mempertahankan jawatan sebagai ketua DAP negeri.

Di Selangor, pemilihan menyaksikan pengaruh Tony Pua dicabar.

Walaupun begitu, pencabar-pencabarnya yang terdiri daripada puak-puak yang tidak sehaluan mungkin sukar menggoncangkan kedudukan Tony yang merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Dalam pencalonan yang diadakan, lebih 50 orang telah mengesahkan pertandingan untuk 15 jawatan dalam barisan kepimpinan negeri.

China Press melaporkan, DAP Selangor berpuak-puak dengan kewujudan kumpulan elit, kumpulan akar umbi, kumpulan bukan arus perdana, kumpulan proelit, kumpulan neutral, kumpulan orang lama dan juga kumpulan atas pagar.

Kumpulan elit dan yang sealiran dengannya dipimpin oleh Tony yang mewakili wakil rakyat muda dan berpendidikan tinggi.

Pemimpin aliran lain pula ialah veteran seperti Teng Chang Khim, Ronnie Liu dan Ean Yong Hian Wah yang mempunyai penyokong masing-masing di Selangor.

Rasa tidak puas hati terhadap Tony telah mula kedengaran beberapa tahun lalu berhubung calon pilihan raya sehinggalah calon ketua kampung dan ahli majlis.

Pilihan Raya Kecil Balakong baru-baru ini hanya menambah rasa tidak puas hati, dan isu demi isu seperti bola salji yang semakin besar apabila bergolek.

Keadaan itu juga mendorong dua puak mula berpakat untuk menentang Tony, walaupun pengaruh mereka belum matang untuk menjatuhkan Ahli Parlimen Damansara itu.

Kegagalan kumpulan elit untuk memperoleh undi yang mencukupi daripada ahli akar umbi bagaimanapun boleh menyebabkan sesetengah wakil rakyat yang dilihat sebagai elit tidak mampu menyertai barisan kepimpinan DAP Selangor.

“Sesetengah pemimpin akar umbi telah mula bergerak di Selangor termasuk mengaturkan majlis makan-makan untuk menyuarakan rasa tidak puas hati tentang  polisi kumpulan elit.

“Walaupun begitu, kumpulan elit menguasai pelbagai sumber dalam parti dan mereka dilantik sebagai ahli malis dan ketua kampung, oleh itu adalah agak sukar untuk menentang mereka,” kata sumber. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan