Mohamad Sabu
Mohamad Sabu

SUBANG – Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu mengarahkan semua peringkat partinya agar melaksanakan segala apa yang diperkatakan ketika menjadi pembangkang dahulu.

Menurutnya, langkah tersebut harus dilakukan sekiranya semua pihak dalam parti itu tidak mahu dipinggirkan oleh rakyat pada masa-masa akan datang.

“Sekarang ini kita memerintah. Ertinya kita perlu laksanakan apa yang dahulunya kita perkatakan.

“Adakah kita akan mengotakan Islam sebagai rahmatan lil alamin?.. Ya,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen PAN peringkat Negeri Selangor di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad mengakui selepas menjadi kerajaan banyak dugaan dihadapi oleh semua peringkat termasuk pemimpin parti dan kerajaan terutama membabitkan rasuah.

“Ya, bercakap senang tetapi bila berkuasa, jolokan-jolokan, hasutan-hasutan makin hari makin banyak.

“Kita dengar kritikan, kita dengar teguran, kita lihat pandangan tetapi kalau fitnah kita kena lawan habis-habisan,” ujarnya.

Turut hadir berkonvensyen hari ini ialah PAN Wilayah Persekutuan, negeri-negeri sebelum menjelang Konvensyen PAN Nasional Disember ini.

PAN akan membuat pemilihan kepimpinannya dalam konvensyen tahun depan sejajar dengan keperluan perlembagaannya. – MalaysiaGazette