Gambar hiasan

SYDNEY – Seorang lelaki telah meninggal dunia akibat serangan jantung selepas dia disengat ikan pari semasa berenang di pantai Tasmania.

Lelaki berusia 42 tahun itu terkena serangan jantung kira-kira pukul 3 petang semalam selepas berenang di Pantai Roches di Lauderdale, 13 kilometer di timur Hobart.

Mangsa terkena tusukan ikan pari pada bahagian abdomen.

Dalam satu kenyataan, polis Tasmania mengesahkan: “Perkhidmatan kecemasan telah pergi ke pantai selatan Pantai Lauderdale kerana seorang lelaki berusia 42 tahun terkena serangan jantung”.

Lelaki itu dipercayai berenang sendirian ketika serangan itu berlaku.

Beberapa orang telah menarik lelaki itu dari air dan cuba menyelamatkannya tetapi tidak berjaya.

Polis mengatakan siasatan mengenai perkara itu sedang dijalankan.

Sementara itu, Datuk Bandar Tasmania, Doug Chipman berkata, pihaknya akan meminta nasihat pakar berhubung kejadian itu.

Ia termasuk menutup pantai itu jika ia mengancam keselamatan orang ramai. – MalaysiaGazette