Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad
Dr. Mahathir Mohamad

PORT MORESBY (Papua New Guinea) – Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan adalah mustahil untuk melaksanakan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Perdana Menteri berkata, pelaksanaan ICERD memerlukan penggubalan semula Perlembagaan Persekutuan, lapor  BH Online.

Tambah beliau, perkara itu adalah agak mustahil memandangkan jumlah Ahli Parlimen dalam kerajaan, selain reaksi daripada kedua-dua pihak termasuk pembangkang berhubung perkara terbabit.

Sebelum ini, pemimpin tertinggi UMNO dan Pas dilaporkan bersetuju mengadakan perhimpunan bersama bagi membantah pelan ratifikasi ICERD pada 8 Disember ini.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memberi amaran bahawa masyarakat Melayu Islam di Putrajaya akan mengadakan bantahan terhadap ikrar kerajaan untuk meratifikasi ICERD.

Mengulas mengenai perkara itu, Dr Mahathir memberi jaminan kepada orang ramai tiada sebarang kekecohan akan berlaku, kecuali dimulakan oleh Presiden UMNO.

“Kecuali Ahmad Zahid memulakan kekecohan, tidak akan berlaku rusuhan berhubung ICERD.

Dr Mahathir turut memberitahu bahawa ICERD adalah isu sensitif kepada orang Melayu.

“Kita boleh bincang perkara ini kerana kita tidak menolak pendapat orang ramai, malah dalam ucapan saya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) September lalu, saya ada menyentuh berhubung kerumitan melaksanakannya, sama ada secara keseluruhan atau tidak,” katanya.

Malaysia antara sebahagian kecil negara yang masih belum menandatangani atau meratifikasi konvensyen itu.

Konvensyen berkenaan menyediakan mekanisme kepada masyarakat dunia untuk membuat aduan berhubung perkara membabitkan perkauman dan diskriminasi selain berkuat kuasa terhadap semua negara anggota.

Bagaimanapun, pelbagai pihak membantah ratifikasi ICERD kerana dikhuatiri menjejaskan hak orang Melayu, termasuk peruntukkan yang membenarkan kuota dalam institusi pendidikan. – MalaysiaGazette