Para cikguyang sudah dibebani dengan pelbagai kerja akhir tahun persekolahan dikejutkan dengan kerja baharu yang perlu disiapkan pada 30 November.
Gambar Hiasan

PETALING JAYA – Para cikguyang sudah dibebani dengan pelbagai kerja akhir tahun persekolahan dikejutkan dengan kerja baharu yang perlu disiapkan pada 30 November.

Tugas myPortfolio yang diarahkan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) kepada semua penjawat awam dilaporkan bertembung dengan waktu sibuk para guru.

Para cikgu juga mempertikaikan tempoh pendek yang diberikan untuk menyelesaikan kerja perkeranian itu.

Sinchew Daily melaporkan, cikgu perlu menyediakan kad laporan murid, mengumpul balik buku, mengedarkan buku baharu, malahan mengadakan konvokesyen untuk pelajar pada akhir tahun.

Kemunculan tugas myPortfolio secara mengejut dan perlu disiapkan dalam masa yang pendek justeru mengundang rungutan pendidik.

“Banyak aktiviti diadakan di sekolah minggu ini dan cuti sekolah bermula minggu depan.

“Keadaan ini bermakna cikgu masih perlu menyelesaikan banyak kerja pada cuti nanti,” kata seorang guru yang melihat pemberian tugas itu sebagai tidak prihatin.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching mengakui, tempoh penyelesaian tugas myPortfolio yang diberikan adalah tidak munasabah.

Katanya, Kementerian Pendidikan pernah meminta Mampu untuk memanjangkan tempoh yang diberikan, tetapi permohonan tidak diluluskan.

Nie Ching berkata, kementeriannya juga akan mengkaji kenapa arahan pelaksanaan tugas myPortfolio lambat disampaikan pihak kementerian kepada guru sedangkan Mampu telah mengeluarkan surat pekeliling pada 12 Julai.

“Ketua pengarah dan setiausaha bahagian telah bermesyuarat pada 16 Ogos dan memutuskan agar surat pekeliling daripada Mampu ini dituruti dan dilaksanakan.

“Namun begitu, arahan berkenaan mengambil masa yang panjang untuk sampai kepada cikgu. Kami akan mengkaji punca kelewatan ini,” katanya. – MalaysiaGazette