Mohamad Sabu
Presiden Parti Amanah Negara merangkap Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu melihat kad keahlian Amanah pada Konvensyen Parti Amanah Negeri Selangor kali Ketiga di Dewan Serbaguna MPSJ USJ 7, Subang Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 18 NOVEMBER 2018

SUBANG – Parti Amanah Negara (PAN) tidak akan menyenarai hitamkan Ahli Parlimen daripada Pas yang mahu menyertai parti itu jika parti Islam berkenaan bergabung dengan UMNO.

Presidennya, Mohamad Sabu berkata, PAN terbuka untuk menerima ahli dalam Pas kerana beliau mengetahui selok belok parti berkenaan.

Beliau yang mengkritik parti tersebut selepas menyatakan hasrat untuk menjalin hubungan kerjasama dengan UMNO berkata, semua itu berlaku selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan dan menakluki Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu.

“Mereka berbisik bersama mengenai kerjasama walaupun ketika saya bersama Pas suatu ketika dulu.

“Mereka fikir saya yang ketika itu Timbalan Presiden Pas tidak tahu mereka berbisik antara satu sama lain,” katanya.

Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian pada majlis pelancaran konvensyen PAN Selangor di sini hari ini.

Bagaimanapun, Mohamad menegaskan beliau mengharapkan agar UMNO dan Pas tidak bersatu secara rahsia.

Katanya, pimpinan Pas perlu ikhlas dalam menyatakan hasrta itu dan sebarang bentuk gerakan perlu didedahkan menerusi musyawarah.

Jelasnya, sama seperti dalam Pakatan Harapan (PH), apa sahaja keputusan yang hendak dibuat tidak meminggirkan sesiapa pun di dalam parti terutama pemilihan untuk calon Perdana Menteri. – MalaysiaGazette