Abdullah Suady Ramadhan Mohd Nasir
Abdullah Suady Ramadhan Mohd Nasir

KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) Sungai Petani menegur tindakan Skuad Badar yang sering kali membuat tindakan sendiri atas nama ‘Nahi Mungkar’.

Ketuanya, Abdullah Suady Ramadhan Mohd Nasir berkata, Pemuda PAN secara asasnya bersetuju malah mendokong semua usaha NGO untuk bersama dengan kerajaan bagi membentuk Biah Solehah dalam kalangan masyarakat Islam.

Bagaimanapun katanya, negara ini mempunyai sistem dan peraturan yang mengikat demi kemaslahatan serta aulawiyat nama baik Islam itu sendiri.

“Usaha bersifat talibanisasi dan ghuluw (melampau) adalah tidak bertepatan dengan Islam, sebaliknya jauh terpesong daripada suri teladan yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah S.A.W.

“Pemuda Amanah Sungai Petani berharap akan wujud kerjasama padu antara Skuad Badar dengan Pejabat Agama Daerah serta Pejabat Exco Agama Negeri dalam usaha mencegah ‘nahi mungkar’ berbanding penguatkuasaan yang tidak mengikut SOP serta tidak selari dengan Maqasid Syariah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Abdullah Suady berkata, beliau difahamkan Skuad Badar tersebut mempunyai hubungan baik dengan pendakwah bebas, Husam Datuk Badruddin yang juga merupakan adik kepada Pegawai Agama Menteri Besar Kedah iaitu Ustaz Syauki Badruddin.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar pertalian baik berkenaan dapat dijalin secara ikhlas dan telus demi kepentingan nama baik agama Islam.

“Sedangkan ketika berperang sekalipun, Islam menjamin maruah manusia.

“Apa lagi dalam keadaan damai yang sebegini rupa.

“Oleh kerana itu adalah lebih untuk mengurus masyarakat dengan cara yang lebih berhemah serta aman dan makmur,” ujarnya yang merupakan Timbalan Ketua Pemuda PAN, Kedah. – MalaysiaGazette