Kapal mewah ‘Equanimity’ yang dijual secara kehakiman oleh Mahkamah Admiralti Malaysia pada harga AS$126 juta,.
LANGKAWI – Keputusan kerajaan untuk menyimpan kapal layar Equanimity yang bakal dilelong, Langkawi dilihat sebagai langkah bijak bagi menjaga nilai kapal itu, seorang pakar marin memberitahu Bernama hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Tropical Charters Sdn Bhd, Datuk Alexander Isaac berkata, kualiti air di pulau ini adalah asli dan bersih berbanding beberapa tempat yang lain di negara ini, dan dapat mengurangkan urusan untuk memelihara kapal layar mewah itu.

“Kami juga mempuyai limbungan kapal di sini yang dikendalikan sebuah syarikat yang mempunyai pengalaman luas dan kepakaran kejuruteraan dalam mengendalikan kapal layar besar dari seluruh dunia. Equanimity tidak perlu pergi jauh untuk mendapatkan khidmat penyelenggaraan bertaraf dunia,” katanya kepada Bernama.

Alexander, yang berpengalaman dalam perniagaan marin sejak 12 tahun dan mengendalikan syarikat pelancongan cruise melibatkan beberapa buah kapal, berkata Langkawi memiliki kemudahan penyelenggaraan kapal layar bertaraf dunia untuk memenuhi keperluan Equanimity.

“Terlibat dalam bidang ini sejak sekian lama, saya bersependapat dengan Perdana Menteri ad (kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad baharu-baharu ini) bahawa sebuah kapal perlu dikendalikan setiap beberapa hari kerana ini akan dapat mengelakkan kapal itu tersadai begitu sahaja selain menjamin mesin kapal berada dalam keadaan baik,” tambah beliau.

Equanimity menjadi tumpuan sekali lagi apabila ia tiba di jeti Pangkalan Rantau Tiga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bukit Malut di sini Rabu lepas selepas belayar dari Pelabuhan Klang, hingga membawa spekulasi dalam kalangan orang ramai berhubung keberadaannya di sini.

Respon spontan polis tempatan kepada Bernama sebaik kapal itu tiba ialah ia akan dilabuhkan untuk sementara waktru di sini, manakala Dr Mahathir yang berada di Singapura berkata bahawa kapal layar itu perlu berlayar bagi memastikan ia berada dalam keadaan baik.

Walaupun Mahkamah Tinggi telah mengeluarkan arahan pada 19 Okt bahawa kapal itu adalah milik kerajaan Malaysia dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), beliau berkata kerajaan tidak akan menyimpannya sebaliknya akan menjualnya secara lelong.

Mahkamah Admiralti pada 26 Okt meluluskan terma dan syarat bagi proses pembidaan kapal berkenaan yang akan berkuatkuasa mulai 29 Okt sehingga 28 Nov.

Dianggarkan bernilai AS$250juta (RM1.42 bilion), Equanimity dibeli secara haram oleh seorang ahli perniagaan Malaysia Low Taek Jho atau Jho Low menggunakan wang dicuri daripada skandal 1MDB.

Ia dirampas di Bali, Indonesia pada Februari sebelum diserahkan kepada kerajaan Malaysia pada Ogos. – MalaysiaGazette