Telekom Malaysia Bhd (TM) muncul kaunter ketiga paling rugi di Bursa Malaysia pagi ini berikutan laporan media bahawa harga perkhidmatan jalur lebar Malaysia dijangka susut sekurang-kurangnya 25 peratus menjelang akhir tahun ini.
Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia (TM) prihatin dengan masalah para pelanggannya dan telah memberikan penjelasan terhadap aduan pihak-pihak terlibat berkenaan perkhidmatan jalur lebar, Streamyx.

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mendengar maklum balas daripada pelanggan serta pihak-pihak berkepentingan dan telah pun memberikan kenyataan secara individu di media sosial serta menerusi beberapa kenyataan media dengan menyatakan butiran perancangan dan perkembangannya.

“Kami juga sentiasa berhubung dengan para pelanggan kami melalui e-mel, panggilan dan SMS untuk memaklumkan mengenai naik taraf percuma terutamanya bagi pelanggan Streamyx di kawasan unifi, dan bagi yang berada di luar kawasan liputan unifi, naik taraf sehingga 8Mpbs atau penyelesaian jalur lebar tanpa wayar 4G LTE,” menurut kenyataan itu.

Katanya, pihaknya juga telah menjelaskan berkenaan kekangan rangkaian tembaga dan sentiasa mengadakan perbincangan dengan pihak kerajaan, kementerian, pengawal selia dan pihak berkepentingan lain mengenai cara menangani isu-isu legasi rangkaian tembaga yang dialami oleh pelanggan Streamyx.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo meminta TM memberi penjelasan dan cadangan penyelesaian berkenaan isu ketidakpuasan hati para pelanggan terhadap perkhidmatan Streamyx.

Gobind berkata beliau telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk memanggil TM bagi meminta penjelasan berkenaan perkara itu dan satu laporan akan dikemukakan pada minggu hadapan.

Mengulas lanjut, TM dalam kenyataan itu berkata pihaknya menghargai kesabaran pelanggan berkenaan isu itu memandangkan perkara tersebut memerlukan penyelesaian jangka panjang dan mempunyai implikasi yang perlu diselesaikan di peringkat industri dan nasional.

TM dalam masa sama akan terus memastikan pelanggan dan pihak-pihak berkepentingan sentiasa dimaklumkan dari semasa ke semasa tentang perkembangan usaha-usaha mereka menerusi media sosial, media dan interaksi secara peribadi. – MalaysiaGazette