Datuk M. Sambanthan
Datuk M. Sambanthan

SEMENYIH – P. Waytha Moorthy disifatkan cuba untuk menjadi hero dalam masyarakat India tanpa ada sokongan daripada akar umbi parti politik dalam Pakatan Harapan.

Presiden Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) Datuk M. Sambanthan berkata, langkah Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga portfolio Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial itu dianggap lemah kerana beliau bukan Menteri yang dipilih daripada empat parti gabungan dalam PH.

Menurutnya, Waytha tidak akan mampu membela nasib kaum berkenaan kerana suaranya tidak mendapat sokongan daripada akar umbi kerana beliau bukanlah Menteri yang dilantik daripada gabungan dalam parti yang sudah membentuk kerajaan.

“Kalau YB Waytha tiada jawatan dalam Kabinet memang dia tak boleh jumpa akar umbi.

“Ini semua masalah daripada kepimpinan baharu, dulu masa BN perintah tiada masalah kepada masyarakat India.

“Tetapi bila sekarang kerajaan baharu, ada macam-macam masalah kepada kami kaum India,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Rumah terbuka Deepavali Parti IPF, Bahagian Hulu Langat di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mengulas lanjut, M. Sambanthan berkata, Waytha tidak perlu bersikap demikian kerana parti IPF sendiri telah terlebih dahulu menjadi jaguh dalam membela nasib kaum India semasa pentadbiran BN meskipun tiada sesiapa dalam parti itu dilantik menjadi anggota Kabinet.

Katanya, sebagai seorang pemimpin Waytha perlu mempunyai penyokong di peringkat akar umbi kerana tanpanya perjuangan akan menjadi sia-sia.

Terdahulu, Waytha mendapat kecaman netizen apabila sebuah video lama beliau selaku pemimpin utama pertubuhan radikal Hindraf telah memburuk-burukkan Malaysia kepada negara luar dengan menyebarkan kenyataan palsu berupa fitnah.

Perkara tersebut mendapat perhatian Pergerakan Pemuda UMNO apabila mendesak dan menggesa agar Waytha meletakkan dan melepaskan jawatannya dalam Kabinet.

Pemuda UMNO menyifatkan, tindakan Waytha itu sebagai menggambarkan seolah-olah Malaysia menghadapi masalah pencabulan hak asasi yang kronik dan melakukan penindasan teruk kepada kaum-kaum dan penganut agama lain, antaranya merobohkan kuil-kuil hindu dan menafikan hak asasi kaum lain di Malaysia. – MalaysiaGazette