Anthony Loke
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke

KAJANG – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bakal menyelesaikan kes-kes melibatkan kemalangan jalan raya di negara ini selepas terbentuknya Lembaga Pengangkutan Malaysia (MTSB) tidak lama lagi.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, kearah itu, satu draf undang-undang bagi penubuhan lembaga itu sedang di rangka dan akan dibentangkan di Parlimen pada suku pertama tahun hadapan.

“Draf akta itu sedang dirangka dan diperincikan oleh Pejabat Peguam Negara. Kita berharap ia akan dapat dibentangkan di Parlimen pada Mac tahun depan dan diluluskan untuk membolekan MTSB ditubuhkan.

“Soal operasi, peranan dan kuasa lembaga itu akan diketahui apabila draf akta berkenaan selesai dirangka dan dibentangkan di Parlimen.

“Kita mengambil modul dari Australia dan Amerika Syarikat bagi mewujudkan MTSB,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan Laporan Status Pelaksanaan 51 Syor Penambahbaikan Panel Penasihat Bebas (PPB) di Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian merangkap Pengerusi Bersama PPB, Datuk Seri Saripuddin Kasim dan Pengerusi MIROS, Tan Sri Lee Lam Thye.

Penubuhan MTSB adalah salah satu cadangan Panel Kaji Semula Syor (RRP), sebuah panel bebas yang diwujudkan kementerian itu yang mencadangkan keperluan untuk menubuhkan lembaga khas bagi menyiasat kemalangan jalan raya di seluruh negara.

Sementara itu, Anthony berkata kementeriannya juga mewajibkan semua bas ekspres dan persiaran baharu memasang tali keledar pada kerusi penumpang, serta sistem brek sokongan yang akan bermula pada 2020.

Katanya, peraturan itu bertujuan meningkatkan tahap keselamatan penumpang terutama bagi bas yang menempuh laluan tanah tinggi.

“Pelaksanaan pemasangan tali keledar ini selari dengan peraturan Suruhanjaya Ekonomi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Untuk Eropah (UNECE) R80 bagi keselamatan penumpang bas.

“Pemasangan sistem brek sokongan pula akan membantu memperlahankan bas pada waktu kecemasan yang mana keperluannya sangat kritikal bagi laluan tanah tinggi seperti di Genting Highlands dan Cameron Highlands,” demikian menurut beliau.

Juga akan dikuatkuasakan penggunaan Program Penggredan Keselamatan (SSG) terhadap operasi bas ke atas semua syarikat pengendali bas ekspres mulai tahun depan.

“Syarikat yang gagal mendapat penarafan SSG walau satu bintang tidak akan dapat memperbaharui lesen pengendali,” katanya.

Malah kerajaan juga akan mewajibkan penggunaan Sistem Keselamatan Kanak-kanak (CRS) mulai tahun 2020. – MalaysiaGazette