Jamal Khashoggi. foto Agensi

ANKARA – Pembunuh Jamal Khashoggi dipercayai telah membawa mayat wartawan itu yang sudah dikerat keluar dari Turki dalam bagasi, kata Menteri Pertahanan Turki, Hulusi Akar.

Khashoggi adalah penduduk tetap Amerika Syarikat dan merupakan kolumnis Washington Post, dibunuh di dalam bangunan Konsulat Arab Saudi pada 2 Oktober lalu.

Putera Mahkota, Mohammed bin Salman dikatakan antara individu yang bertanggungjawab ke atas kematian Khashoggi.

Riyadh sebelum ini telah membuat beberapa kali penafian tentang penglibatannya dalam kes itu tetapi kemudian mengesahkan wartawan tersebut dibunuh dalam Konsulat.

Dalam satu persidangan antarabangsa di Halifax, Kanada, Akar memberitahu, pembunuh Khashoggi telah meninggalkan negara itu tiga atau empat jam selepas melakukan pembunuhan.

“Mereka telah membawa mayat Khashoggi yang dikerat dalam bagasi tanpa masalah kerana imuniti diplomatik,” kata CNN Turk yang memetik kenyataan Akar.

Turki memaklumkan terdapat 15 individu termasuk dua lelaki terlibat dalam kumpulan yang mengerat mayat Khashoggi.

Malah, Ankara juga mahu satu siasatan dibuat untuk mengetahui sama ada terdapat penggunaan asid bagi melupuskan mayat Khashoggi.

Pendakwa raya Arab Saudi, Shalaan al-Shalaan berkata, mayat Khashoggi telah dikerat, dipindahkan dari bangunan Konsulat dan diserahkan kepada ‘pengendali tempatan’.

Khamis lalu, Shalaan berkata, pendakwa raya Arab Saudi telah memohon hukuman mati ke atas lima individu yang didakwa terlibat mengarah dan terbabit dalam pembunuhan berkenaan.

Namun, Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu tidak berpuas hati dengan kenyataan Shalaan dan mendesak Riyadh mendedahkan lokasi mayat Khashoggi. – MalaysiaGazette