Gambar hiasan
Gambar hiasan

SINGAPURA- Pesawat Singapore Airlines yang meninggalkan Lapangan Terbang Changi awal pagi tadi terpaksa berpatah balik selepas sejam berlepas akibat penurunan tekanan udara di dalam kabin.

Punca sebenar yang berlaku kepada pesawat Boeing 777-300ER itu masih belum dikenalpasti.

Mengikut laporan FlightRadar24, pesawat SQ336 yang menuju Paris itu sudah berada pada ketinggian 24,000 kaki melintasi ruang udara Malaysia ketika berpatah semula ke Singapura.

Topeng oksigen sudah mula terkeluar dan pesawat mula turun ke paras 6,000 kaki.

Pesawat berkenaan terpaksa berlegar-legar di udara selama kira-kira sejam untuk membuang minyak sebelum boleh mendarat.

Jurucakap SIA mengesahkan kejadian tersebut dengan memaklumkan pesawat berkenaan membawa 234 penumpang dan 17 kru. Tiada kecederaan dilaporkan.

Pesawat berkenaan berjaya mendarat di Lapangan Terbang Changi pada kira-kira jam 2.30 pagi disambut dengan kenderaan bantuan kecemasan.

Susulan perubahan jadual penerbangan, pesawat tersebut berlepas pada 6 pagi tadi dan dijadualkan tiba di Paris pada jam 12.17 petang waktu tempatan, kata SIA.- MalaysiaGazette