Mohd. Ashraf Mustaqim
Mohd. Ashraf Mustaqim

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy mendapat tentangan bertali arus ekoran kenyataannya yang membangkitkan kemarahan semua pihak ketika ditemubual oleh sebuah stesen televisyen Belanda.

Jika tengahari tadi Waytha diserang tanpa henti ketika menjawab soalan di Parlimen berhubung isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), perkara sama turut ditimbulkan oleh Biro Pendidikan Armada Nasional, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Dalam satu kenyataan hari ini, Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir menggesa Waytha supaya memohon maaf atas perlakuannya itu dan meletak jawatan ekoran pemimpin Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) itu telah hilang locus standi dalam membicarakan hal tersebut.

Mohd. Ashraf berkata, Waytha perlu bertindak demikian sebagai langkah menghormati kerukunan dalam negara serta mengelak kemarahan rakyat yang berterusan.

“Biro Pendidikan Armada percaya bahawa setiap kepimpinan Armada sepakat menggesa supaya PDRM menjalankan siasatan ke atas tindakan Waytha yang ternyata mengkhianati perlembagaan dan rukun negara tercinta ini.

“Biro Pendidikan ARMADA juga kesal kerana Waytha dipercayai cuba berbohong menerusi penjelasan terbaharu beliau apabila mengatakan bahawa video temubual yang tular itu dilakukan sekitar tahun 2007.

“Sedang dengan jelas dalam video temubual itu, beliau menyebut Over Last 54 Years Since Independent bererti video tersebut dipercayai terhasil sekitar tahun 2011 mengambilkira Merdeka pada tahun 1957,” katanya.

Menurut Ashraf lagi, Waytha juga kelihatan berdolak-dalik dalam cubaan menyelamatkan diri dengan menyalahkan kezaliman rejim UMNO-BN ke atas pergerakan beliau sedang apa yang diperkatakannya dalam video tersebut jelas merupakan suatu falasi (tanpa sedikit pun merujuk kepada UMNO) dan pengkhianatan ke atas negara menerusi praktik Perlembagaan Persekutuan.

Malah katanya, menerusi video yang tular itu jelas menampakkan wajah sebenar Waytha yang tidak berpegang pada tunjang kedaulatan negara iaitu perlembagaan itu sendiri.

“Pernyataan falasi utamanya seperti penganut agama Hindu bukan sahaja dihalang bagi mengamalkan kepercayaan mereka malah beliau turut menyatakan bahawa penganut Hindu ‘dipaksa’ meninggalkan agama Hindu di Malaysia adalah merupakan suatu tuduhan yang berat oleh Waytha sepertimana yang saya perkatakan ianya bertentangan dengan praktik Perlembagaan Persekutuan malah berupa suatu kenyataan yang berunsur hasutan dan mampu mencetuskan ketegangan serantau domestik dan antarabangsa.

“Cukup ironi pernyataan Waytha dan jelas merupakan suatu pengkhianatan sedang Sultan dan Majlis Raja-Raja sebagai suatu simbol menaungi institusi Islam dan penyatuan kaum malah selaku penaung badan eksekutif bukan sahaja memperkenan cuti-cuti perayaan pelbagai agama di Malaysia malah baginda Sultan Selangor sebagai contoh turut memperkenan untuk menutup jalan-jalan awam negeri bagi tujuan khas perayaan agama Hindu sebagai contoh Thaipusam yang belum tentu mana-mana negara yang mengiktiraf kepelbagaian kaum memberikan ruang sedemikian sama ada negara yang melayan secara sama rata apatah lagi jika terdapat agama yang mempunyai populasi dominan untuk melakukan amalan secara adil di setiap ceruk wilayah,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya kesal dengan sikap yang ditunjukkan oleh Waytha yang sedikit pun tidak mempamerkan rasa kesal atau mahu memohon maaf diatas tindakannya itu. – MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2018/11/19/waytha-teruk-diserang-gara-gara-icerd/