KUALA LUMPUR – Danajamin Mighty Run 2018 akan diadakan untuk tahun ketiga pada 24 November ini.

Larian kebajikan ini bagi menyokong usaha meningkatkan kesedaran mengenai autisme.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Danajamin Nasional Berhad (Danajamin) Mohamed Nazri Omar, dalam satu kenyataan, berkata Danajamin Mighty Run 2018 bertujuan untuk membantu masyarakat yang kurang mampu dengan menyediakan mereka peluang untuk berkembang dalam komuniti yang lebih luas.

“Sebelum Danajamin Mighty Run, kami sentiasa menyokong Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) dan memperjuangkan kesedaran autisme.

“Melalui Danajamin Mighty Run, kami berharap dapat meneruskan peranan kami untuk menyokong komuniti autisme dengan membantu dan membolehkan mereka maju dalam masyarakat kita,” katanya.

Larian tahun ini, bertemakan ‘Feel the Spectrum’, akan berlangsung di Taman Botani Perdana di sini.

Terdapat tiga kategori utama iaitu Autism Family Walk (satu kilometer) pada RM35, Fun Run (5km) (RM50), dan Competitive Run (10km) (RM70).

Acara berkenaan akan menggabungkan beberapa aktiviti ‘multisensory’ di sepanjang laluan peserta untuk pengalaman menarik bagi mengalami cabaran yang sering dihadapi mereka yang dalam spektrum tersebut, yang sangat sensitif terhadap persekitaran.

Seperti beberapa tahun sebelumnya, sebahagian daripada hasil Danajamin Mighty Run akan disalurkan kepada NASOM.

Dana itu telah memberi manfaat kepada NASOM dan pelajarnya dengan Pusat Vokasional di Bandar Puteri, Klang dinaik taraf manakala bilik ‘Snoezelen’ yang baru diwujudkan di Gombak.

Bagi mendaftar acara berkenaan, sila layari https://www.ticket2u.com.my/event/11944 atau mengikuti laman Facebook Danajamin Mighty Run 2018 untuk maklumat terkini.

Sebarang pertanyaan boleh diemelkan kepada penganjur di [email protected]. – MalaysiaGazette