Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bercakap ketika temubual eksklusif di Shah Village Hotel, Petaling Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 19 NOVEMBER 2018
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bercakap ketika temubual eksklusif di Shah Village Hotel, Petaling Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 19 NOVEMBER 2018

SIAPA tak kenal dengan Tan Sri Musa Hassan, bekas Ketua Polis Negara ke lapan. Berusia 67 tahun, anak sulung tokoh agama yang disegani, Allahyarham Tan Sri Hassan Azahari ini telah menghambakan dirinya sebagai pegawai polis hampir 40 tahun lamanya sebelum bersara pada tahun 2010.

Dalam pertemuan beliau dengan wartawan MalaysiaGazette, SYAHRIL A. KADIR semalam, Musa hanya menaiki sebuah ‘kapcai’ jenama Honda sekaligus memperlihatkan betapa ringkasnya kehidupan bekas pegawai polis nombor satu Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tidak mementingkan status dan protokol ini.

Selama satu jam, Musa meluahkan kerunsingan hatinya mengenai pelbagai perkara mutakhir ini khususnya yang menyentuh mengenai keselamatan negara termasuk perihal pasukan PDRM sendiri.

“Sekarang polis pun orang tak hormat lagi dah. Nak ambil tindakan pun takut. Nak bercakap pun takut, eh apa cerita? Banyak orang polis nak lari dari kerja polis, nak pencen awal, ini kerana ada kongkongan. Nak buat itu tak boleh, nak buat ini salah. Kalau you nak suruh dia jadi polis kemudian dia tak boleh buat itu ini, semuanya salah, jadi buat apa dia jadi polis? ”

MGF19112018_TEMUBUAL MUSA HASSAN13
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menunggang motosikal semasa hadir temubual eksklusif di Shah Village Hotel, Petaling Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 19 NOVEMBER 2018

MG: Tan Sri, sekarang ini semua orang bercakap soal hak asasi. Kerajaan sendiri menekankan benda yang sama sehingga ada beberapa peruntukan yang sedang dikaji untuk diubah dan dimansuhkan selaras dengan tuntutan di peringkat antarabangsa. Dalam konteks jenayah itu sendiri, bagaimana Tan Sri melihat keadaan ini?

MUSA: Setiap negara mewujudkan undang-undang jenayahnya. Pertama untuk mencegah dan kedua untuk menghukum. Dalam konteks hak asasi di Malaysia, kita memang mengiktiraf hak asasi. Contohnya seseorang itu tidak boleh dihukum melainkan didapati bersalah. Tetapi hak asasi kita ini ada hadnya. Kita ada undang-undang. Contohnya kalau dia didapati bersalah melanggar undang-undang, hak asasi dia boleh diketepikan. Tiada negara di dunia ini yang mengamalkan hak asasi mutlak. Pun begitu, kita di sini masih menjamin hak asasi tertuduh. Contohnya hak asasinya untuk mendapatkan peguam. Hak asasinya untuk mengetahui apa kesalahannya bila ditangkap polis, hak asasinya untuk mempertahankan dirinya bila dituduh di mahkamah. Cuma jangan lupa, mangsa jenayah ini juga ada hak asasinya. Tetapi haknya jarang kita mengambil endah.

MG: Apa pandangan Tan Sri mengenai keputusan Kabinet untuk memansuhkan hukuman mati?

MUSA: Saya bagi contoh, kalau ada seorang tertuduh membunuh seorang bayi. Hukuman gantung pula tak ada tetapi digantikan dengan penjara. Selang beberapa tahun tertuduh itu bebas lepas, apa pulak perasaan ibu bapa dan keluarga mangsa? Majoriti negara ada hukuman mati, di Malaysia hukuman gantunglah, di China hukuman tembak malah di Amerika Syarikat sendiri ada beberapa negerinya masih mengekalkan hukuman mati iaitu dengan cara suntikan maut. Walaupun AS terkenal dalam memperjuangkan hak asasinya tetapi mereka sendiri masih berpendirian hukuman sebegini perlu ada. Yang penting bagi kita adalah keselamatan rakyat secara keseluruhannya. Hukuman mati ini adalah bertujuan untuk ‘deterrent’. Mahkamah sendiri pun bukan mudah nak jatuhkan hukuman mati ni. Hakim sendiri akan melihat fakta-fakta keterangan. Ada kriteria-kriteria yang diperlukan sebelum tertuduh hendak dijatuhkan hukuman mati. Lagi berat hukuman, lagi berat beban pembuktian. Jadi saya melihat hukuman mati ini perlu ada, apatah kalau kita lihat sekarang banyak kes-kes jenayah berat berlaku seperti pembunuhan melibatkan bayi dan kanak-kanak.

MGF19112018_TEMUBUAL MUSA HASSAN15
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bercakap ketika temubual eksklusif di Shah Village Hotel, Petaling Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 19 NOVEMBER 2018

MG: Mutakhir ini wujud pelbagai perkara yang mencetuskan kegusaran di kalangan rakyat terutama yang melibatkan perkara berunsur perkauman hingga bibit-bibit ‘keretakan’ sedikit demi sedikit mula kelihatan. Ia semakin ketara dalam media sosial yang disalahgunakan untuk menyebarkan hasutan, kebencian dan macam-macam lagi. Bagaimana Tan Sri melihat isu ini?

MUSA: Kalau kita lihat sekarang ini, pelbagai isu dibangkitkan. Saya tengok dalam Twitter, Facebook…hasutan ini banyak sangat. Banyak isu sensitif dibangkitkan…tentang agama…tentang perkauman… hingga menimbulkan kemarahan orang. Ia boleh merosakkan keamanan negara. Oleh itu saya menjangkakan bahawa undang-undang ini perlu wujud. Sebab itu kita ada Akta Hasutan. Kita tidak boleh sentuh isu sensitif seperti agama, budaya, menghina kaum, menghina Raja-Raja tetapi saya dapat tahu Akta Hasutan pun nak dihapuskan (ketawa). Kalau macam itu, kita pun tak tahu sama ada kita menuju ke arah kebaikan atau menuju ke arah lebih buruk. Ini perasaan manusia. Perasaan manusia tidak boleh dikawal. Hanya boleh dikawal melalui iman dia sendiri…kalau dia ada iman…kalau dia tak ada iman dia akan melakukan ‘sesuatu’. Sebagai seorang yang menjaga keamanan dan keselamatan negara dulu, bila wujudnya perkara sebegini, saya rasa runsing! Itu sebab saya selalu nasihatkan – jangan buat provokasi! Kalau ada provokasi dan ada pula timbal balas provokasi tersebut…akan meletup! Macam 13 Mei, apa berlaku? Ada berlaku perarakan…menghina kaum lain…ini semua menimbulkan kegusaran, kemarahan. Nanti kalau benda tak terkawal, akan jadi pergaduhan kaum. Dalam Facebook orang cakap kotor-kotor, menghina satu sama lain. Kalau semua ini berterusan, akan timbullah perkara yang tak diingini!

MG: Apa peranan kerajaan dalam hal ini?

MUSA: Mereka perlu memastikan keselamatan negara. Ini bukan tanggungjawab orang ramai lagi dah. Mereka (kerajaan) perlu menentukan ada undang-undang agar keadaan dapat dikawal. Ini semua tanggungjawab kerajaan. Kalau undang-undang ni tak ada, polis nak buat kerja macam mana?

MG: Bagaimana Tan Sri melihat PDRM sekarang ini?

MUSA: Sekarang polis pun orang tak hormat lagi dah. Nak ambil tindakan pun takut. Nak bercakap pun takut, eh apa cerita? Kita kena bagi kuasa pada kita punya penguatkuasa untuk mencegah perkara buruk daripada berlaku. Banyak orang polis nak lari dari kerja polis, nak pencen awal, ini kerana ada kongkongan. Nak buat itu tak boleh, nak buat ini salah. Itu satu dari faktor. Kalau you nak suruh dia jadi polis kemudian dia tak boleh buat itu ini, semuanya salah, jadi buat apa dia jadi polis. Padahal dia nak menguatkuasakan undang-undang. Pegawai dan anggota polis perlu ada sokongan bukan saja daripada ketua-ketua di atas tetapi daripada orang ramai juga. Tetapi apa yang berlaku sekarang ini orang menghina polis pun banyak. Bila mereka nak ambil tidakan, mereka dimaki, jadi kita ada masyarakat apa ni? Masyarakat kita yang tak ada budi bahasa. Masyarakat kita yang kurang ajar. Tidak menghormati pihak berkuasa. Kita nak masyarakat yang sebegitu ke? Kalau kita nak masyarakat seperti itu, tak perlu ada undang-undanglah. Kalau kita tarik semua daripada mereka, kuasa pun tak ada, apa pun tak ada, macam mana mereka nak jalankan kerja?

MGF19112018_TEMUBUAL MUSA HASSAN07
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bercakap ketika temubual eksklusif di Shah Village Hotel, Petaling Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 19 NOVEMBER 2018

MG: Pengalaman Tan Sri sendiri bagaimana?

MUSA: Benda-benda tak betul saya terpaksa bersuara walaupun ia dilakukan oleh sesiapa saja termasuk Menteri. Kita terpaksa bercakap. Sebab itu orang tak suka saya. Kita kena menjalankan tugas without fear or favour. Pegawai dan anggota polis perlu menjalankan tugas dia secara bebas. Pada masa yang sama kita perlu pantau. Kita tidak boleh ‘bias’ pada mana-mana pihak. Pegawai atasan sendiri kena menyenangkan tugasan orang bawahan dia. Masa saya dulu saya pernah kata pada pegawai bawahan saya. Andai kata sesiapa mengguna nama saya untuk elak daripada ditahan, maka ambil tindakan. Kalau tindakan anda betul, kita akan sokong anda. Yang penting jangan salahguna kuasa.

MG: Benda jenayah ni bukan perkara baru, semasa Tan Sri dulu bagaimana?

MUSA: Sebelum ini jenayah memang wujud tetapi kita dapat mengawalnya dengan baik. Dan kita mengambil tindakan yang tegas terhadap mereka-mereka yang melakukan sesuatu perkara yang boleh menggugat keselamatan negara. Tetapi sekarang ini saya tengok lain sikit. Orang menghina Raja pun tak kena tangkap. Orang yang menghasut orang lain pun kita diam je, tak ada tangkapan. Jadi ini yang merunsingkan saya. Ini menggalakkan orang makin ‘berani’, bila dia makin berani satu hari nanti dia tidak akan terkawal. Kita kena kawal dari awal. Kalau kita buat diam, bersikap tidak apa, kita akan jadi susah! – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast