Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Perbelanjaan biasiswa dan pinjaman pendidikan Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebanyak RM2 bilion dipindah klasifikasi daripada perbelanjaan mengurus kepada perbelanjaan pembangunan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini.

Menurutnya, tindakan itu menyusul kerana perbelanjaan tersebut dalam membangunkan modal insan Bumiputera merupakan pelaburan jangka panjang pembangunan negara.

“Hakikatnyta jumlah peruntukan perbelanjaan mengurus dan pembangunan MARA kekal berada di tahap RM3.7 bilion pada tahun 2019.

“Tidak benar apabila pihak tertentu menarik perhatian kepada peruntukan perbelanjaan mengurus MARA sebanyak 1.3 bilion bagi 2019 kononnya merupakan pengurangan RM2 bilion berbanding 2018.

“Adalah tidak benar tohmahan berniat jahat bahawa peruntukan pembangunan luar bandar diketepikan seperti peruntukan MARA dikurangkan sebanyak separuh memandangkan pembangunan luar bandar antara tonggak utama dasar kerajaan dalam Belanjawan 2019,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng mendakwa, pihak tertentu sengaja mengelirukan keadaan dengan membandingkan peruntukan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sebanyak RM9.5 bilion pada tahun 2018 dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sebanyak RM8.4 bilion untuk tahun 2019 yang menyaksikan pengurangan bajet.

Jelas beliau, KKLW kini sebenarnya dijenamakan sebagai KPLB kerana agensi seperti RISDA, FELCRA dan JAKOA (Jabatan Kemajuan Orang Asli) yang sebelum ini di bawah
KKLW, tidak merupakan agensi KPLB kerana dipindah kepada Kementerian lain.

Tambahan pula katanya, agensi lain yang terlibat dalam pembangunan luar bandar telah dinaikkan peruntukannya sebagai contoh Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera
(Peneraju) disediakan peruntukan RM 90 juta pada tahun 2018 ditingkatkan kepada
RM210 juta untuk 2019 bagi membiayai program meningkatkan kemahiran belia
Bumiputera terutamanya daripada isi rumah berpendapatan rendah.

“Program Peneraju untuk 2019 termasuk melahirkan lebih ramai profesional di kalangan huffaz disamping peruntukan pembangunan FELDA juga dinaikkan daripada RM160 juta dalam 2018 kepada RM260 juta untuk 2019 bagi membiayai projek menaiktaraf jalan dan penyediaan bekalan air di penempatan FELDA.,” ujar beliau.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Bagan itu juga memaklumkan bahawa kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan dasar perolehan kerajaan yang mengutamakan perolehan secara tender terbuka, baik untuk kontrak khusus untuk kontraktor bumiputera maupun yang terbuka untuk semua.

Menurut beliau, amalan perolehan oleh pentadbiran terdahulu untuk menganugerahkan projek mega secara runding terus dan tender terhad telah melibatkan kos tinggi dan penyelewengan kewangan yang membebankan kewangan negara dan merugikan rakyat.

Tegas Guan Eng, kerajaan akan memastikan proses perolehan yang bersifat ketelusan,
persaingan terbuka serta kos yang berpatutan sambil menyifatkan prinsip tender terbuka tidak bertentangan dengan agenda pembangunan usahawan Bumiputera.

“Apa yang dikhususkan kepada usahawan bumiputera seperti dalam agensi luarbandar tetap akan berkekalan, dengan perbezaan bahawa sistem tender terbuka mesti dijalankan dalam kalangan kontraktor bumiputera yang berkelayakan.

“Tidak perlu lagi mendapat tandatangan Ketua Bahagian atau hanya kroni bumiputera tertentu yang boleh dapat dan dalam perkara ini garispanduan Kementerian Kewangan adalah supaya Kementerian dan agensi Kerajaan hendaklah memastikan bahawa sekurang-kurangnya 30 peratus daripada nilai kerja dalam satu tahun, ditender hanya di kalangan kontraktor Bumiputera.

“Pendekatan ini adalah selaras dengan hasrat membangunkan komuniti perdagangan
dan perindustrian Bumiputera yang mampan dan berdaya saing,” tegas beliau.

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Agung DAP itu juga memberitahu bahawa kerja
yang bernilai di bawah RM200,000 akan kekal dikhaskan untuk kontraktor Bumiputera
kelas G1 (atau yang sebelum ini dikenali kelas F) dan dilaksanakan perolehan secara
sebut harga.

Disamping katanya,sistem tender terbuka boleh membawa penjimatan yang besar dan membantu mengurangkan kos perbelanjaan, hutang Kerajaan Persekutuan dan defisit fiskal.

Beliau juga berkongsi laporan Ketua Audit Negara 2016 yanhg melaporkan bahawa kerajaan negeri telah berjaya menjalankan hampir 100% projek pembangunan dengan menggunakan hanya 55% peruntukan, yakni penjimatan 45% daripada peruntukan pembangunan.

“Inilah asas yang membenarkan kerajaan negeri Pulau Pinang mencatatkan
lebihan Belanjawan setiap tahun, menambahkan rizab aset daripada RM850 juta
kepada RM2.1 bilion dan mengurangkan hutang negeri sebanyak 90% kepada RM63
juta dalam 10 tahun ini sejak 2008.

“Sekiranya kerajaan Persekutuan boleh jimatkan 10% dalam perjalanan sistem tender terbuka, ia akan membawa penjimatan berbilion-bilion ringgit setiap tahun,” katanya lagi.

Menyentuh mengenai Subsidi Bersasar Membantu Golongan Tulen yang berusaha dan perlukan bantuan, katanya ia bukanlah Subsidi Terasar yang juga Memenfaatkan mereka yang tidak layak.

Jelasnya kerajaan kekal komited kepada pertanian sebagai sektor ekonomi strategik
memandangkan sumbangannya kepada pertumbuhan ekonomi negara serta jaminan
keselamatan bekalan makanan negara.

“Adalah penting untuk bantuan subsidi ditukar daripada pendekatan bersasar yang membantu golongan tulen yang berusaha dan perlukan bantuan, bukanlah pendekatan subsidi tersasar sekarang yang membazirkan ratusan juta ringgit kerana memenafaatkan mereka yang tidak layak.

“Bantuan subsidi bersasar bagi menjaminkan sumber pendapatan bagi
golongan petani, pekebun kecil, pesawah dan nelayan yang tulen akan terus
dikekalkan.

“Ini perlu dilakukan untuk membendung masalah ketirisan dan
penyalahgunaan atau penyelewengan bantuan subsidi yang tersasar supaya
kewangan negara tidak dibazirkan oleh pihak yang tidak layak menerimanya,
khususnya golongan berada.

“Itulah pendekatan subsidi bersasar kerajaan demi memastikan kebajikan para petani, pekebun kecil, pesawah dan nelayan yang tulen tidak akan diabaikan dan terus terpelihara,” ujar beliau.- MalaysiaGazette