Permintaan tinggi terhadap hampir setiap bahagian pada Harimau Malaya menyebabkan nilai pasaran spesies terancam itu mencecah RM1 juta.
Permintaan tinggi terhadap hampir setiap bahagian pada Harimau Malaya menyebabkan nilai pasaran spesies terancam itu mencecah RM1 juta.

KUALA LUMPUR – Permintaan tinggi terhadap hampir setiap bahagian pada Harimau Malaya menyebabkan nilai pasaran spesies terancam itu mencecah RM1 juta.

Disebabkan keuntungan yang tinggi, pemburu haram juga sanggup menanggung risiko walaupun sedar perbuatan mereka mengundang tindakan penguatkuasaan.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, beliau percaya penurunan populasi Harimau Malaya di Thailand dan Vietnam mendorong pedagang haram menyasarkan Malaysia.

Beliau berkata, berlainan dengan tanggapan ramai bahawa kulit harimau adalah paling bernilai, tulang harimau sebenarnya merupakan harta yang paling dicari-carikan.

“Ini kerana tulang harimau boleh digunakan untuk menghasil arak yang mempunyai nilai perubatan.

“Arak ini biasanya akan dijual kepada pembeli dari China yang bermarkas di Laos dan Vietnam, tetapi juga ada yang dihantar sampai ke Amerika Syarikat.

“Harga untuk satu liter arak boleh mencecah RM8,400,” katanya kepada China Press.

Selain itu, kuku dan gigi harimau dianggap sebagai bahan pembawa tuah sementara darah dan alat pembiakan harimau dijual sebagai makanan eksotik.

Untuk kulit harimau yang dijadikan perhiasan, harganya boleh mencecah RM83,000 sehelai untuk kulit yang sempurna. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan