PUTRAJAYA – Menteri berkaitan agama Islam, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menggesa rakyat di negara ini tidak bermain emosi mengenai cadangan kerajaan untuk ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Beliau turut menasihatkan agar sesiapa yang tidak bersetuju dengan cadangan ini agar mengemukakan pandangan mereka di platform yang telah dan akan diberikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, biarpun Malaysia mengamalkan konsep demokrasi, namun sensitiviti pelbagai kaum turut harus dijaga.

“Jika mereka mahu berhimpun, dan bercakap pandangan mereka silakan. Jangan guna emosi ini untuk menggugat dan mengancam isu agama dan perakaunan.

“Kalau mereka main isu perkauman dan agama, isu ini akan menjadi isu emosi dan rapuh mungkin pihak tertentu boleh ambil kesempatan seperti golongan ekstremis untuk merosakkan negara ini,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Mujahid berkata semuanya mengulas mengenai perhimpunan besar-besaran membabitkan penyertaan ahli PAS dan UMNO yang akan diadakan di ibu negara pada 8 Disember ini.

Ahad lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sewaktu berucap pada Himpunan Perpaduan Ummah di pekan Kampung Gajah, Perak dilapor berkata, perhimpunan itu bertujuan menyatakan bantahan orang Melayu dan Islam terhadap tindakan Kerajaan Persekutuan yang dikatakan mahu meratifikasi atau mengesahkan ICERD.

Awal bulan ini, Mujahid mengadakan pertemuan dengan beberapa pihak bagi membincangkan isu berkaitan ICERD.

Mujahid berkata pertemuan bersama 34 individu yang mewakili 10 badan bukan kerajaan (NGO) Islam, mahasiswa, ahli akademik serta peguam semalam berjalan lancar.

Pertemuan yang diadakan selama kira-kira tiga jam di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, kata Mujahid berlangsung secara harmoni dengan semua pihak memberikan pandangan, cadangan selain menyatakan kebimbangan sekiranya Malaysia meratifikasi ICERD.

“Dalam konteks hari ini, memang bersesuaian dengan itu, Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) telah mengambil langkah awal dengan menyatakan bahawa apa yang kita nak buat perlu ada rundingan dan persetujuan.

“Saya telah buktikan bahawa dua minggu lalu, saya telah memanggil semua pihak yang mempunyai pandangan dalam isu ICERD apa sahaja pandangan mereka dibincangkan dalam bentuk harmoni dan lebih objektif serta mencatit pandangan tersebut untuk dijadikan input yang bermanfaat sekiranya kerajaan ingin mengambil satu-satu pandangan,” jelas Ahli Parlimen Parit Buntar itu lagi.

Isu ratifikasi ICERD mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat mahupun kerajaan PH.

Terbaharu Dr Mahathir berkata ICERD mustahil dilaksanakan kerana pelaksanaannya memerlukan Perlembagaan Persekutuan digubal semula keranaia memerlukan majoriti dua pertiga Parlimen.

Malah penggubalan Perlembagaan Persekutuan “agak mustahil” dilakukan memandangkan jumlah dan reaksi wakil-wakil rakyat di pihak kerajaan dan pembangkang berhubung perkara terbabit. – MalaysiaGazette

Mujahid tak buka ruang dialog, Suhakam pula beri amaran

ICERD : Jangan buat andaian melampau – Mujahid

Jangan emosi bincang isu ICERD – Mujahid