Isteri kepada bekas ADUN DAP, S. Pushpaneela
S. Pushpaneela

KUALA LUMPUR – Walaupun desakan demi desakan supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy meletak jawatan kerana memburukkan imej negara di peringkat antarabangsa, namun ada juga tampil membela pemipin tersebut.

Pushpaneela isteri kepada bekas pemimpin Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf), M. Manoharan berkata, tindakan mendesak Waytha yang baharu sahaja beberapa bulan menjadi menteri adalah sesuatu yang tidak adil.

Sebaliknya, Pushpaneela yang juga lantang ketika bercakap tentang isu tertentu berpendapat, peluang sepatutnya diberikan kepada Waytha untuk menerajui kementerian untuk satu jangka masa panjang sebelum membuat sebarang keputusan.

Katanya, seseorang pemimpin itu diangkat atau dilantik untuk jawatan kerana kebolehan serta keupayaan tertentu malah dalam isu Waytha, beliau sebenarnya antara yang pernah dalam menyuarakan isu-isu berkaitan rakyat.

“Mungkin pendekatan dulu nampak seperti tidak betul, tapi adakah adil untuk terus menjatuhkan hukuman kepada beliau kerana kenyataan terdahulu?

“Jika sedemikian, beliau juga pernah dilantik di Jabatan Perdana Menteri ketika era kerajaan Barisan Nasional (BN) juga sebelum beliau sendiri dengan sukarela meletak jawatan. Semua itu juga perlu diambil kira.

“Beri beliau masa dan jangan salah tafsir semua perkara, peluang harus diberikan untuk beliau melaksanakan tanggungjawab yang telah diberikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Jangan kita buat keputusan seperti ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Pushpaneela yang juga pernah melalui saat getir ketika suaminya menjadi tahanan ISA berkata, perjuangan kumpulan Hindraf ketika itu sebenarnya untuk rakyat.

“Saya menyokong Waytha bukan kerana apa-apa, kami sendiri kini telah menyepi. Tetapi hakikatnya, perjuangan satu ketika dahulu bukan sesuatu yang senang untuk dilalui.

“Saya mohon beliau diberikan peluang, saya menyokong kerana hakikatnya beliau adalah antara kalangan pemimpin yang baik, seandainya diberikan masa, banyak kebaikan yang dapat dibawa,” ujarnya.

Dalam pada itu ketika menyentuh isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), kata beliau, ianya mungkin bukan satu alternatif untuk perpaduan.

“Ramai yang salah tafsir, malah Wayta tidak dapat menyakinkan banyak perkara walaupun hanya peringkat kajian atau perbincangan, mungkin perlu dilepaskan dulu isu ini.

“Biar reda atau difahami terlebih dahulu, banyak lagi cara untuk memupuk perpaduan antara kaum,” ujarnya.

Manoharan adalah salah seorang daripada lima pemimpin Hindu Rights Action Force (Hindraf) yang ditahan ISA; empat yang lain adalah P. Uthayakumar, R. Kengadharan, V. Ganabatirau dan T. Vasanthakumar.

Waytha kini menjadi perhatian kerana video yang pernah dirakamkan ketika sebuah wawancara di Belanda 10 tahun lepas menjadi tular baru-baru ini jelas sekali mengundang kemarahan umum.

Beliau didakwa memburukkan imej negara Malaysia di peringkat antarabangsa dengan menyebarkan fitnah bahawa kononnya rakyat Malaysia beragama Hindu didiskriminasikan dan perlu memeluk Islam jika mahu mendapatkan pekerjaan dalam sektor-sektor awam.

Katanya, ia menggambarkan seolah-olah Malaysia menghadapi masalah pencabulan hak asasi yang kronik dan melakukan penindasan teruk kepada kaum dan penganut agama lain, antaranya merobohkan kuil Hindu dan menafikan hak asasi kaum lain. – MalaysiaGazette