Cempedak Chees memuatnaik berita yang memetik nama Mujahid sebagai mendakwa Waytha Moorthy tidak perlu meminta maaf dalam isu video viral.
Cempedak Chees memuatnaik berita yang memetik nama Mujahid sebagai mendakwa Waytha Moorthy tidak perlu meminta maaf dalam isu video viral.

KUALA LUMPUR – Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa menegaskan tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti tajuk tersebut dalam isu video rasis melibatkan rakan sepejabatnya Senator P Waytha Moorthy yang viral baru baru ini.

Kenyataan pejabat Mujahid yang menjaga portfolio agama itu muncul susulan tindakan sebuah portal bernama Cempedak Chees memuatnaik berita yang memetik nama Mujahid sebagai mendakwa Waytha Moorthy tidak perlu meminta maaf dalam isu video viral.

Menurutnya, tajuk yang ditulis bukan sahaja salah tetapi ia langsung tidak menggambarkan keseluruhan berita dan masyarakat dinasihatkan agar tidak terpedaya dan mempercayai tulisan tajuk tersebut.

“Meskipun kerajaan meraikan kebebasan bersuara dan kebebasan media, namun ia tidak bermakna masyarakat boleh sewenang-wenangnya melakukan kesalahan seperti ini kerana ia boleh menjejaskan keharmonian kaum dan bangsa di negara ini,” kata kenyataan tersebut.

Tambahnya, meletakkan tajuk sensasi yang disengajakan tanpa menggambarkan keseluruhan isi berita merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab.

Menurut pejabat menteri itu lagi, difahamkan juga berita yang diletakkan di portal itu “dicuri” daripada portal berita lain tanpa memberi kredit.

“Malah, portal yang menggunakan nama Cempedak Cheese itu juga diragui kerana langsung tidak memaparkan maklumat berhubung portal tersebut.

“Sehubungan itu, pihak Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) menasihatkan orang ramai agar berwaspada dan tidak membaca tajuk sesuatu berita semata-mata serta mempercayai ‘berita-berita’ yang diviralkan tanpa membaca dari sumber yang sahih,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette