Petisyen lucutkan jawatan Waytha capai 148,939 tandatangan

KUALA LUMPUR – Baru semalam dilancarkan, namun petisyen mendesak Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad melucutkan jawatan P. Waytha Moorthy sebagai Menteri Perpaduan Nasional dan Kesejahteraan Sosial di Jabatan Perdana Menteri menerima sambutan memberangsangkan.

Petisyen di dalam laman www.change.org/p/tun-dr-mahathir-mohamad-menuntut perlucutan jawayan P.Waytha Moorthy sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berjaya mengumpulkan sebanyak 148,939 tandatangan setakat 5.30 petang tadi.

Digerakkan oleh Gerakan Pengundi Sedar (GPS) menerusi tandatangan dalam talian Change.org, petisyen itu dilancarkan mereka atas beberapa faktor.

Menurut GPS, antara sebabnya ialah tindakan Moorthy yang telah memburukkan imej negara Malaysia di platform antarabangsa dengan menyebarkan fitnah bahawa kononnya rakyat Malaysia yang beragama Hindu telah didiskriminasi dalam beberapa bentuk.

“Antaranya dakwaan ialah perlu memeluk Islam jika mahu mendapatkan pekerjaan dalam sektor-sektor awam; rumah-rumah ibadat mereka telah dirobohkan sesuka hati oleh pihak-pihak berkuasa di Malaysia.

“Berkeras mahu meratifikasikan ICERD sebagai Menteri di JPM walaupun mendapat tentangan kuat kaum Bumiputera, gagal untuk mengawal ketegangan kaum yang semakin memuncak sejak akhir-akhir ini walaupun telah diberikan mandat untuk berbuat demikian sebagai menteri; mempunyai latar belakang yang agak kontroversial,” petik kenyataan itu.

Mereka menuntut perlucutan Waytha Moorthy demi mengekalkan keharmonian dan perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama.

Sementara itu, GPS dalam kenyataan di Facebook mensasarkan untuk mencapai 300,000 tandatangan bagi tujuan itu.

“Ayuh terus tularkan petisyen ini sehingga beliau tumbang. Tiada kemaafan kepada beliau sehingga beliau dipecat dan dibuang kerakyatan,” kata gerakan itu.

Manakala di sebelah lagi, satu lagi petisyen oleh pihak lain dalam laman sama diwujudkan untuk meraih sokongan bagi Waytha Moorthy dikekalkan dalam Kabinet.

Petisyen itu pula digerakkan oleh individu bernama Maruthai Mani kepada rakyat Malaysia yang menyokong dan mahu Waytha terus dipertahankan kedudukannya dalam kerajaan disebalik bantahan kuat.

Setakat 5.34 petang tadi daripada jumlah 15,000 yang disasarkan, sebanyak 10,481 tandatangan sahaja dikumpul.

Ada pengikut petisyen itu Sivakumaran Karuppan memberi sebab masyarakat memerlukan lelaki seperti Waytha sebagai Menteri.

Seorang lagi penandatangan petisyen itu bernama Selva Kumari Gunaratnam pula memberi alasan” pertama sekali MR.Waytha mengambil risiko besar untuk komuniti India di Malaysia… dia berdepan kekangan selama 5 tahun di luar negara..dan saya bangga dengannya dan kenapa tidak dia mempertahankan jawatannya”. – MalaysiaGazette