Amin Senin
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin

KUALA LUMPUR – Murid-murid tahun enam di semua sekolah rendah boleh mengambil Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) dan Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR) masing-masing pada 29 November ini.

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr Amin Senin berkata, pelaporan pentaksiran tersebut pada hari berkenaan boleh mula diambil pada pukul 10 pagi.

Menurutnya, calon juga boleh menggunakan khidmat semakan keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2018 menerusi mySMS ditalian 15888.

“Perkhidmatan ini akan diaktifkan bermula 10 pagi 29 November 2018 dan akan ditamatkan pada 6 petang, 8 Disember 2018,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Amin berkata, waris dibenarkan untuk mengambil dokumen pelaporan sekiranya murid tidak dapat mengambilnya sendiri.

Tambah beliau, semakan keputusan UPSR dan PASR 2018 juga boleh dibuat melalui portal Lembaga Peperiksaan di alamat Ip.moe.gov.my.
PPSR merupakan suatu dokumen yang melaporkan kejayaan murid pada akhir persekolahan peringkat rendah yang lebih holistik dan bermakna.

Pelaporan tersebut merangkumi Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Psikometrik (PPsi), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, sukan dan kokurikulum (PAJSK) serta Ujian UPSR.

Bagi murid aliran perdana, PASR merupakan pelaporan bagi murid berkeperluan khas masalah pembelajaran. – MalaysiaGazette