seeekor ikan paus yang ditemui mati dengan sisa buangan termasuk plastik di dalam perutnya. foto Agensi

JAKARTA – Seekor ikan paus yang ditemui terdampar di Taman Negara Indonesia didapati mengandungi hampir enam kilogram sisa plastik di dalam perutnya.

Barangan yang didapati termasuk 115 cawan minuman, empat botol plastik, 25 beg plastik dan dua selipar getah.

Bangkai mamalia sepanjang 9.5 meter itu ditemui di perairan berdekatan Kepulauan Kapota di Taman Negara Wakatobi lewat Isnin lalu.

Penemuan ini telah mengakibatkan kegelisahan dalam kalangan aktivis alam sekitar.

“Walaupun kita tidak dapat menyimpulkan penyebab kematian, fakta yang kita lihat benar-benar mengerikan,” kata Dwi Suprapti, Penyelaras Pemuliharaan Spesies Marin di WWF Indonesia.

Ia mungkin sukar untuk mengesahkan sama ada plastik telah menyebabkan kematian ikan paus kerana keadaannya yang sudah reput.

WWF Indonesia telah menyenaraikan apa yang ditemui dalam perut haiwan itu.

“5.9 kilogram sampah plastik ditemui di perut paus malang ini! Sampah plastik iaitu: plastik keras sebanyak 19 keping, botol plastik (4), plastik kantong (25), selipar getah (2) dan gelas plastik (115).

Pembuangan plastik di perairan merupakan masalah utama di beberapa negara Asia Tenggara termasuk Indonesia.

Negara lain yang menghadapi masalah sama di Asia ialah China, Filipina, Vietnam dan Thailand. – MalaysiaGazette