Amitabh Bachchan.

NEW DELHI – Amitabh Bachchan berkata, beliau telah melunaskan hutang para petani bernilai lebih daripada 40 juta rupee (AS$560,000).

Dalam blognya, bintang veteran Bollywood yang berusia 76 tahun itu berkata, hutang itu membabitkan 1,398 petani dan merasakan ia satu pencapaian.

Semua petani itu daripada negeri Uttar Pradesh, tempat Bachchan dilahirkan.

Katanya, dia telah menjelaskan pinjaman yang dipinjam kepada Bank of India dan bank itu telah mengeluarkan dokumen dan sijil penyelesaian ‘sekaligus’ menurut catatan blognya.

Dianggarkan 10,000 orang petani India bergelut dengan masalah hutang.

Sejak berdekad, industri pertanian menghadapi masalah kemarau, pengurangan jadual air, produktiviti menurun dan kekurangan teknologi moden.

Ekoran itu, sekurang-kurangnya 300,000 petani telah bertindak membunuh diri sejak tahun 1995.

Awal tahun ini Bachchan membayar pinjaman hutang 350 petani dari negeri Maharashtra Mumbai.

Beribu-ribu petani di negeri itu mengadakan protes besar-besaran pada tahun lalu yang menuntut pengecualian pinjaman dan harga tanaman yang lebih baik.

Bachchan juga terlibat dalam kontroversi berkaitan dengan tanah ladang apabila pada tahun 2007, mahkamah memutuskan bahawa tanah seluas 90,000 kaki persegi telah diperuntukkan secara tidak sah kepadanya.

Pelakon itu menghadapi tuduhan penipuan yang kemudian ditarik kerana beliau melepaskan tuntutan ke atas tanah tersebut. – MalaysiaGazette