Gagasan 3
Penasihat Kehormat G3, Datuk Azwanddin Hamzah (duduk tengah) diiringi Pengerusi G3, Raggie Jesry (duduk, dua kiri), Timbalan Pengerusi G3, Amran Ahmad Nor (duduk, tiga kanan) serta barisan sekretariat G3 bergambar bersama pada Majlis Pengenalan Pertubuhan Sekretariat Gagasan Tiga Malaysia (G3) di Pandan Kapital, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 21 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Sebuah gerakan yang dipanggil Gagasan Tiga (G3) ditubuhkan bagi mengawasi DAP yang merupakan sebuah parti gabungan yang membentuk kerajaan sekarang.

Penasihat Kehormat G3, Datuk Azwanddin Hamzah berkata, gerakan itu diwujud sebagai membetulkan keadaan apabila beberapa perkara berkaitan orang Melayu, Islam dan Raja-Raja Melayu telah mula diperlekehkan oleh parti berkenaan.

Beliau mendakwa, sejak Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak ada lagi kestabilan politik di dalam negara.

Malah, terdapat banyak kelemahan-kelemahan yang wujud gara-gara DAP sebuah parti rasis berada dalam kerajaan.

“Kita akur pilihan raya yang lepas mereka ini (pemimpin DAP) ada yang jadi menteri tapi dalam pada masa yang sama jangan kamu mengambil kuasa dan cuba membuang kuasa-kuasa orang Melayu,” katanya pada sidang media pengenalan gerakan itu hari ini.

MGF21112018_Gagasan Tiga Malaysia (G3)_03
Penasihat Kehormat Gagasan Tiga Malaysia (G3), Datuk Azwanddin Hamzah pada Majlis Pengenalan Pertubuhan Sekretariat Gagasan Tiga Malaysia (G3) di Pandan Kapital, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 21 NOVEMBER 2018

Menurut Azwanddin, DAP telah mengganggu gugat keharmonian masyarakat Melayu dan orang Islam apabila beberapa perkara sengaja ditimbulkan untuk membangkitkan kemarahan.

Dengan memberikan contoh, pemberian Bible di rumah-rumah seperti yang berlaku di Pulau Pinang serta isu berkaitan Ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) jelas menunjukkan DAP cuba mencabar orang Melayu.

Ujarnya, sikap yang ditunjukkan oleh DAP itu perlu dihentikan bagi mengelak keadaan dalam negara menjadi lebih parah.

Tambah beliau, kerajaan hari ini seolah-olah terlalu bergantung kepada DAP sehingga banyak perkara yang diputus perlu mengikut telunjuk parti itu.

Dalam pertemuan hari ini sebanyak 53 badan bukan kerajaan (NGO) berhimpun sebagai memberi sokongan dan pengenalan terhadap gerakan yang diwujudkan itu.

Dalam pada itu, Azwanddin menjangka lebih 300 NGO akan menyertai gerakan dalam tempoh tiga bulan ini.

Katanya, satu roadshow akan diadakan dalam masa terdekat ke Kedah dan Pulau Pinang sebagai langkah untuk mendapatkan maklum balas daripada masyarakat terhadap isu-isu yang timbul.

Jelasnya, untuk permulaan gerakan itu akan turun ke Ukay Perdana di Hulu Kelang pada minggu depan dan setakat ini telah berjaya mengumpul seramai 1,000 orang yang dijangka akan hadir.

Tambah beliau, apa yang penting matlamat utama gerakan itu adalah untuk menyekat DAP agar tidak terus bermaharajalela. – MalaysiaGazette