PPIM
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

KUALA LUMPUR – Para penjual minuman keras diingatkan agar tidak mengambil kesempatan terhadap kehidupan masyarakat majmuk di negara ini untuk mempromosi arak kepada orang Islam.

Peringatan tegas itu diberikan oleh Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang mahu penjual minuman keras terutamanya di pusat beli belah atau pasaraya tidak keterlaluan dalam mempromosikan produk tidak halal itu kepada orang Islam.

“Malaysia ni sebuah negara majmuk, namun demikian kita perlu memahami budaya semua kaum di sini kalau kita nak tentukan keharmonian akan terus tercapai.

‘Contohnya kalau kita jumpa orang Hindu, kita tahu dia tak makan lembu tapi kita beri juga, jadi ia tak kena dan boleh timbulkan salah faham.

“Jadi, maknanya penjual arak ini kena lebih prihatin lagi dengan perkara-perkara yang semacam ini kerana ia boleh buatkan masyarakat menjadi marah,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Nadzim berkata, prinsip hormat menghormati antara satu sama lain perlu ada kerana ia mampu menjaga keharmonian dalam kehidupan.

“Sejak kebelakangan ini banyak timbul perkara-perkara yang berkaitan salah faham contohnya, komen menteri-menteri yang dibuat sebelum menjadi menteri.

“Tapi maknanya kenyataan itu faktanya masih kekal. Kita seharusnya berlumba-lumba untuk berbaik sebab kalau bergaduh tiada kebaikan,” ujarnya.

Nadzim berkata demikkian ketika diminta mengulas mengenai satu rakaman menunjukkan seorang gadis promoter mempromosikan minuman beralkohol di bahagian tidak halal di sebuah pasaraya kepada seorang lelaki Melayu.

Dalam video berdurasi kira-kira 46 saat itu, seorang individu mendekati seorang wanita promoter berbangsa Cina yang sedang mengedarkan perasa (tester) minuman keras di salah sebuah pasar raya.

Individu berkenaan didengar mempertikai dan mendakwa perasa minuman keras itu diberikan kepada semua pelanggan.

Wanita berkenaan bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

Berdasarkan susunan arak yang boleh dilihat dalam klip video itu, dipercayai kejadian itu berlaku di seksyen tidak halal.

Dalam pada itu, Nadzim menggesa pihak yang terlibat supaya membuat permohonan maaf di atas kejadian yang berlaku serta menjadikannya sebagai pengajaran.

Katanya, ia bagi mengelak daripada timbulnya rasa kurang senang atau perasaan marah kerana ada sesetengah pihak memandang perkara seperti itu berat dan sensitif.

Bagi mengelak perkara seperti itu berulang, Nadzim menegaskan agar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengadakan pemantauan yang kerap di lokasi penjualan minuman keras.

Peranan itu penting untuk dimainkan oleh kementerian berkenaan kerana Jabatan Kemajuan Islam Malaysia tidak boleh bertindak terhadap premis-premis yang pekerjanya berkelakuan demikian. – MalaysiaGazette