Piala AFF 2018
Aksi pemain Vietnam dan Myanmar pada perlawanan Piala AFF 2018 di Stadium Thuwunna, Yangon, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Keputusan seri 0-0 antara Myanmar dan Vietnam pada perlawanan Piala AFF 2018 di Stadium Thuwunna, Yangon, malam tadi membuka ruang kepada Malaysia untuk menjuarai kumpulan A.

Menerusi keputusan itu kedua-dua pasukan berkenaan terikat dengan tujuh mata diekori rapat pasukan negara yang kini berada di tangga ketiga.

Skuad bimbingan jurulatih Tan Cheng Hoe itu perlu menewaskan Myanmar pada aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Ia bagi melayakkan Malaysia ke separuh akhir dan juara kumpulan akan berada dalam genggaman mereka sekiranya Kemboja mampu mengekang kemaraan Vietnam daripada meraih mata penuh dalam satu lagi aksi Kumpulan A.

Keputusan 0-0 yang kekal hingga wisel penamat memaksa kedua-dua pasukan berpuas hati berkongsi satu mata.

Sementara itu, satu lagi aksi Kumpulan A menyaksikan Kemboja meraih kemenangan pertama selepas menundukkan Laos 3-1 di Phnom Penh. – MalaysiaGazette