Shamsubahrin Ismail
Pengarah Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd., Datuk Shamsubahrin Ismail bercakap pada sidang media menuntut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo supaya tidak meletak jawatan ekoran isu Telekom Malaysia di Wisma Central, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 22 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Tempoh dua minggu yang diberikan kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke untuk mengadakan perbincangan berhubung kemelut pemandu teksi berakhir hari ini.

Penasihat syarikat pengendali teksi Big Blue Capital Sdn Bhd Datuk Shamsubahrin Ismail
berkata, Anthony tidak perlu bimbang untuk bertemu dengannya kerana pertemuan tersebut bukannya untuk bertelingkah sebaliknya hanya mahu mencari jalan penyelesaian terhadap isu yang timbul.

“Kita dah hantar surat kepada Anthony Loke dan dah jumpa dengan pegawai dia, saya mengharapkan jawapan itu hari ini.

“Dia kata saya tak ikut prosedur, tapi semua dah diikut untuk jumpa dengan dia tapi dia nak melarikan diri pasal apa?

“Dia kata saya ugut dia buat, saya tak ugut dia, saya yang pangkah (undi) dia. Saya yang suruh semua orang pangkah Pakatan Harapan.

“Tak bebaloi kalau saya ugut dia. Sekarang ni orang hentam saya, saya bagi sokongan padanya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Shamsubahrin berkata, beliau tidak faham kenapa Anthony perlu menyembunyikan dirinya sedangkan beliau cuba untuk membantu dalam menyelesaikan kemelut yang berlaku.

Katanya, Anthony lebih berminat untuk bertemu dengan pihak-pihak yang tidak memberi manfaat daripada berjumpa dengan pihak yang sepatutnya.

“Menteri sekarang ini hanya pergi jumpa persatuan yang pandai bodek mereka daripada jumpa orang yang takkan bodek tetapi akan membantu dia.

“Saya cakap yang benar dia tak boleh terima. Orang tu datang nak bodek dia, itu dia boleh jumpa. Sebab itu yang dia nak dengar,” ujarnya.

Dalam pada itu, ShamsuBahrin berkata, beliau mahu mengadakan rundingan dengan Anthony berhubung isu tersebut secara empat mata.

Namun, sekiranya diberi ruang beliau mahu membawa teman yang boleh dijadikan saksi untuk mengikuti perbincangan yang diadakan.

Sebelum ini, ShamsuBahrin dan beberapa pemandu teksi turun ke Kementerian Pengangkutan untuk bertemu dengan Anthony bagi mencari penyelesaian berhubung masalah yang membelenggu pemandu teksi ketika ini.

Bagaimanapun, hasrat tersebut tidak tercapai dan ke semua mereka hanya dapat bertemu dengan pegawai di kementerian berkenaan yang kemudian membawa permasalahan yang diutarakan kepada menteri.

Tempoh dua minggu yang diberikan berakhir hari ini dan Anthony digesa untuk memberikan maklum balas mengenainya. – MalaysiaGazette