Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak bercakap pada Wawancara Eksklusif Bersama Najib Razak anjuran Sinar Harian ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 NOVEMBER 2018
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak bercakap pada Wawancara Eksklusif Bersama Najib Razak anjuran Sinar Harian ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR- Kerajaan Pakatan Harapan tidak berpeluang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu sekiranya tidak menabur janji-janji manis seperti yang terkandung di dalam manifesto mereka.

“Kalau PH buat manifesto sama seperti senario yang berlaku pada hari ini iaitu harga minyak diapungkan, tol dikekalkan, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) perlu dibayar balik, apakah mereka boleh menang?

“Kita telah beri penerangan kepada rakyat bahawa jika hendak hapuskan tol kerajaan perlu tanggung kos sebanyak RM400 bilion, bagaimana hendak kurangkan harga minyak sedangkan kita menanggung RM600 juta subsidi sebulan. Jika hendak turunkan harga minyak dari RM2.20 seliter kepada RM1.50 seliter mungkin kita kena tampung subsidi sampai RM2 bilion sebulan.

“Kita sudah beri penerangan kepada rakyat tetapi rakyat tidak mahu dengar dan mungkin mereka fikir tidak mengapalah (mengundi PH) kerana mereka mungkin lebih baik (daripada Barisan Nasional),” katanya ketika ditemubual dalam program Wawancara Eksklusif yang disiarkan oleh Sinar TV hari ini.

Katanya, janji-janji manis yang ditabur oleh PH merupakan antara faktor menyebabkan tumbangnya BN yang telah lebih 60 tahun menjadi parti pemerintah di negara ini.

Beliau dalam masa yang sama menafikan skandal 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) merupakan penyumbang utama kekalahan BN semasa PRU yang lalu.

“Tidak dinafikan 1MDB adalah salah satu punca tetapi ia bukannya satu-satunya faktor.

“Ini kerana kekalahan BN di luar bandar bukan disebabkan oleh 1MDB. Di kawasan bandar, mungkin.

“Antara punca kekalahan BN adalah janji-janji manis yang tidak ditunaikan oleh PH. Saya anggap ini penyumbang yang lebih besar (berbanding isu 1MDB),” katanya lagi.

Ketika ditanya mengenai nasib peneroka Felda selepas PH mentadbir negara, Najib berkata, beliau tidak hairan dengan kesempitan hidup yang melanda peneroka-peneroka ketika ini namun beliau sudah tidak mempunyai kuasa untuk melakukan sesuatu untuk mengubah perkara tersebut.

“Baru-baru ini ada peneroka Jengka 10 datang ke rumah saya dan bila ditanyakan berapa pendapatan mereka sekarang, mereka jawab RM300 sebulan sahaja sedangkan sebelum PRU mereka boleh memperolehi sehingga RM3,000.

“Saya tidak hairan dengan keadaan dalam Felda serta nasib penduduk luar bandar yang lain, ada yang cakap keadaan ini suram malah ada yang menyifatkan mereka seperti berkabung.

“Tetapi saya tidak ada kuasa lagi cuma saya akan membawa suara-suara ini ke Parlimen melalui kapasiti saya sebagai ahli Parlimen dan menulis di Twitter dan Facebook,” ujarnya.

Semasa pentadbiran Najib, Felda sering mendapat perhatian yang lebih daripada beliau.-MalaysiaGazette