Pelabuhan Singapura

SINGAPURA – Ekonomi Singapura berkembang 2.2 peratus pada asas tahun ke tahun pada suku ketiga, agak perlahan berbanding pertumbuhan 4.1 peratus pada suku sebelumnya, menurut Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) Singapura, hari ini.

Berdasarkan suku tahunan yang disesuaikan mengikut kadar tahunan, ekonomi negara berkembang 3.0 peratus, lebih cepat daripada pertumbuhan 1.0 peratus pada suku kedua, kata Kementerian itu dalam satu kenyataan.

Menurut Kementerian itu, ekonomi republik itu dijangka tumbuh antara ‘3.0 kepada 3.5 peratus’ pada 2018 dan antara ‘1.5 kepada 3.5 peratus’ pada 2019.

Mengikut sektor, perkilangan berkembang 3.5 peratus tahun ke tahun, sederhana berbanding pertumbuhan 10.7 peratus pada suku sebelumnya.

Kesemua kluster dalam sektor berkenaan berkembang melainkan kluster pembuatan am yang menyusut di sebalik penurunan output dalam segmen industri percetakan dan pelbagai, kata MTI.

Sektor pembinaan menguncup 2.3 peratus tahun ke tahun, penurunan yang lebih perlahan daripada penyusutan 4.2 peratus pada suku sebelumnya.

Menurut MTI, output pembinaan pada suku ketiga diimbangi oleh kelemahan aktiviti pembinaan dalam sektor awam.

Sektor perdagangan runcit dan borong berkembang 0.5 peratus tahun ke tahun, berkurangan daripada pertumbuhan 1.5 peratus pada suku sebelumnya.

Pertumbuhan dipacu oleh segmen perdagangan borong, disokong oleh pengembangan kukuh dalam sub-segmen bekalan, peralatan dan jentera, kata MTI.

Selain itu, segmen perdagangan runcit berkurangan, diimbangi oleh penyusutan jualan kenderaan.

Pertumbuhan dalam sektor pengangkutan dan penyimpanan berrtambah 2.1 peratus tahun ke tahun, lebih cepat berbanding pertumbuhan 1.2 peratus pada suku sebelumnya, disokong oleh pengembangan dalam segmen pengangkutan udara dan air, kata MTI.

Menurut Kementerian berkenaan, sektor makanan dan penginapan tumbuh 4.0 peratus tahun ke tahun, meningkat daripada pertumbuhan 3.9 peratus pada suku sebelumnya.

Pertumbuhan itu sebahagian besarnya dipacu oleh segmen penginapan yang berkembang di sebalik pertambahan kehadiran pelancong ke Singapura, kata MTI.

Sementara itu pertumbuhan sektor komunikasi dan maklumat berkurang kepada 4.7 peratus tahun ke tahun daripada 5.8 peratus pada suku sebelumnya.

Pertumbuhan sektor itu terutamanya dalam segmen perkhidmatan maklumat dan IT yang berkembang kukuh berdasarkan pemintaan yang baik bagi penyelesaian IT, kata MTI.

Dalam sektor kewangan dan insurans, ia berkembang 5.6 peratus tahun ke tahun, sederhana berbanding pertumbuhan 6.8 peratus pada suku terdahulu.

Pertumbuhan dalam sektor itu didorong oleh segmen insurans dan ‘lain-lain’, dengan segmen kedua diperkuatkan oleh sistem pembayaran yang lebih berkesan dan transaksi tanpa tunai dalam ekonomi, kata MTI.

Segmen ‘lain-lain’ merangkumi sewaan dan pajakan, selain perkhidmatan profesional, saintifik dan teknikal serta perkhidmatan pentadbiran dan sokongan lain.

Sektor perkhidmatan perniagaan berkembang 2.4 peratus tahun ke tahun, pertumbuhan yang sama pada suku sebelumnya iaitu 2.3 peratus.

Pertumbuhan itu didahului oleh segmen perkhidmatan profesional dan ‘lain-lain’ manakala segmen hartanah meneruskan kontrak, kata MTI.

‘Industri perkhidmatan lain-lain’ menunjukkan pertumbuhan 1.2 peratus tahun ke tahun, lebih tinggi daripada pertumbuhan 0.5 peratus pada suku sebelumnya.

Pertumbuhan itu disokong terutamanya oleh segmen pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan sosial, menurut MTI. – MalaysiaGazette