Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof beramah mesra dengan sebahagian peserta yang hadir pada Majlis Pelancaran Rangka Kerja Keusahawanan Nasional di Menara Berkembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 22 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan akan menyelaraskan fungsi 60 agensi bertanggungjawab ke atas bidang keusahawanan yang terdiri daripada pelbagai kementerian.

Menterinya, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, cadangan itu akan diperhalusi menerusi Rangka Kerja Keusahawanan yang merupakan panduan dalam menyediakan Dasar Keusahawanan Negara yang bakal dilancarkan pada pertengahan tahun depan.

Jelasnya, dasar tersebut penting dalam membantu kementerian mencapai objektif dan sasaran untuk meningkatkan sumbangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebanyak 41 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020 dan mencipta sejuta pekerjaan dalam tempoh lima tahun.

Ia juga berhasrat melahirkan 50,000 graduan setahun dalam bidang keusahawanan, sumbangan eksport PKS sebanyak 23 peratus pada 2020 dan pulangan sebanyak RM50 bilion oleh koperasi pada 2020.

“Kementerian kami akan menjadi penyelaras supaya kita mendapat hasil yang tersasar sebab selama ini banyak agensi ada tugas berlapis.

“Masih banyak kerja untuk diperhalusi disebabkan itu kita memerlukan rangka kerja ini supaya mendapat maklum balas dari semua pihak supaya dapat menghasikan dasar yang komprehensif,” katanya semasa sidang media selepas sesi taklimat Rangka Kerja Keusahawanan di sini hari ini.

MGF22112018_REDZUAN LANCAR RANGKA KERJA02
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berucap pada Majlis Pelancaran Rangka Kerja Keusahawanan Nasional di Menara Berkembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 22 NOVEMBER 2018.

Rangka Kerja Keusahawanan mengandungi 21 objektif strategik yang dirangkumkan dalam empat teras strategi iaitu mempercepatkan pertumbuhan ekonomi melalui keusahawanan berteraskan inovasi, pembangunan keusahawanan secara komprehensif dan bersepadu, meningkatkan keusahawanan golongan B40 dan pemerkasaan usahawan.

Kementerian katanya berhasrat untuk mendapatkan maklum balas, cadangan dan komen orang awam melalui interaktif atas talian atau bersemuka.

NEF boleh diakses di laman web di www.med.gov.my.-MalaysiaGazette