Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR –  Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng meluahkan rasa kurang senang dengan tindakan Gagasan Kuasa Tiga (G3) yang mendedahkan objektif utama gabungan itu hanya melancarkan perang terhadap DAP.

Kata Guan Eng, pada awalnya beliau tidak mahu mengambil ‘pusing’ dengan kenyataan dan dakwaan G3 yang sesuka hati melontarkan tuduhan termasuk DAP adalah musuh nombor satu Islam dan orang Melayu.

Guan Eng yang juga Menteri Kewangan memberi kata dua agar gabungan itu yang baru di asaskan semalam untuk meminta maaf atau berdepan dengan tindakan undang-undang dalam masa terdekat.

“Mulanya saya tidak mahu ambil kisah tentang kumpulan ini. Tetapi saya telah dinasihatkan oleh para peguam saya kerana tuduhan ini bukan sahaja memberi imej yang buruk malah isunya sudah menjadi sangat tular.

“Saya mahu NGO ini beri bukti atas tuduhan-tuduhan yang mereka lempar atas kami. Jika tidak, tarik balik dan minta maaf dengan segara seandainya tidak mahu berdepan dengan tindakan undang-undang,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen sebentar tadi.

Guan Eng mengulas kenyataan Pengerusi G3, Raggie Jessy mendakwa isu ICERD merupakan agenda tersembunyi DAP yang dibawa oleh Guan Eng dan bapanya Lim Kit Siang bagi menghapuskan hak istimewa orang Melayu-Islam di negara ini.

Kata Guan Eng, G3 ini sebenarnya mempunyai agenda jahat dengan sengaja membakar sentimen masyarakat Melayu dan Islam dalam isu berhubung Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

“Sebenarnya mereka mahu hasut lebih ramai untuk menjadi marah dan turun perhimpunan ICERD kelak. Mereka ini sangat bahaya, jika perhimpunan aman tidak apa.

“Bukan DAP yang bangkitkan isu ratifikasi ICERD. Kami langsung tidak timbul isu ini tetapi mereka lemparkan tuduhan terhadap kami, sesuatu yang kita tidak dapat tolak ansur.

“Kita mengalami krisis kewangan dan fiskal tetapi ada pihak yang cuba alih isu utama rasuah dengan perkara-perkara seperti perkauman dan hasut rakyat. Saya harap rakyat nampak agenda mereka,” tegasnya. –MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2018/11/21/icerd-isu-agama-bukan-perkauman/