Shamsubahrin Ismail
Pengarah Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd., Datuk Shamsubahrin Ismail bercakap pada sidang media menuntut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo supaya tidak meletak jawatan ekoran isu Telekom Malaysia di Wisma Central, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 22 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo perlu mengambil tindakan drastik untuk mengheret pihak-pihak yang terlibat dengan rasuah di dalam syarikat Telekom Malaysia Berhad (TM) ke muka pengadilan.

Gesaan itu dibuat oleh Penasihat syarikat pengendali teksi Big Blue Capital Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail yang melihat ia sebagai langkah untuk memberi pengajaran kepada mereka yang tidak bertanggungjawab itu.

Malah, Gobind juga tidak perlu tunduk dengan gesaan pihak-pihak tertentu yang mahu beliau meletak jawatan ekoran dakwaan pengguna tidak mendapat kepuasan terhadap perkhidmatan TM.

“Ini pihak-pihak yang dah tak dapat keuntungan, dengan kehadiran menteri baru rasuah pun disiasat, dia pun menggelupurlah.

“Banyak pegawai-pegawai atasan TM lebih kaya daripada menteri. Yang ambil rasuah kecil dikenakan tindakan sampai ada yang masuk penjara.

“Inilah masalahnya orang yang besar (pegawai) kenakan orang yang kecil, Itu yang berlaku. Mereka bukan pentingkan untuk sediakan perkhidmatan, tapi pentingkan kontrak dan tender,” dakwa beliau.

ShamsuBahrin mendakwa, pihak-pihak yang terlibat dengan rasuah di dalam syarikat terbabit sedikitpun tidak memikirkan pengguna sebaliknya, hanya mementingkan diri sendiri semata-mata.

Katanya, pengguna berdepan dengan masalah seperti perkhidmtan yang tidak berkualiti namun, perkhidmatan itu tetap dibayar sepenuhnya.

“Kita guna Unifi, bayar bukan sikit tapi mahal. Kalau lewat sehari mereka potong tapi perkhidmatan tidak elok.

“Jadi bagi saya langkah untuk menyuruh Gobind letak jawatan ini merupakan tindakan yang ketandusan, tidak masuk akal sedangkan orang-orang itu adalah mereka yang menjatuhkan TM,” ujarnya.

ShamsuBahrin menegaskan, beliau mempunyai bukti-bukti sebagai menyokong tuduhannya itu. – MalaysiaGazette