Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak bercakap pada Wawancara Eksklusif Bersama Najib Razak anjuran Sinar Harian ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 NOVEMBER 2018
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak bercakap pada Wawancara Eksklusif Bersama Najib Razak anjuran Sinar Harian ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR- Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui Low Thaek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low telah melakukan penipuan di dalam urusan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu bertegas tidak mengetahui perbuatan tersebut semasa ahli perniagaan berkenaan masih terlibat dengan syarikat kontroversi tersebut.

Malah,  beliau berkata, lelaki berasal dari Pulau Pinang itu wajar dikenakan tindakan undang-undang sekiranya terbukti melakukan kesalahan.

“Itulah kesimpulan yang kita boleh buat jika mengikut maklumat dan kenyataan yang kita ada pada hari ini,” katanya ketika menjawab soalan hos Datuk Abd. Jalil Ali apakah Jho Low bersalah di dalam menipu 1MDB.

Program Wawancara Eksklusif itu disiarkan di Sinar TV hari ini.

Jelas Najib, beliau tidak pernah diberitahu oleh peguam, juruaudit mahupun Goldman Sachs, bank pelaburan yang dilantik dalam urusan 1MDB mengenai sebarang salah laku atau kesilapan dalam urus tadbir di dalam syarikat berkenaan.

“Masa itu kita telah lantik peguam, auditor dan Goldman Sachs, sebuah bank pelaburan tersohor di seluruh dunia.

“Tanggungjawab mereka adalah untuk menjaga kepentingan Malaysia, jadi jika mereka tidak beritahu, bagaimana saya hendak tahu?

“Mereka sepatutnya maklumkan kepada saya sekiranya ada perkara yang tidak betul dan jelas mereka telah gagal di dalam tanggung jawab masing-masing kerana tidak memainkan peranan yang sebenarnya,” katanya lagi.

Jelas Najib, keputusan untuk melantik Jho Low dibuat kerana beliau mempunyai hubungan baik dengan negara-negara Timur Tengah seperti Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi, yang mana ia sepatutnya boleh memberi manfaat kepada 1MDB dan Malaysia dalam meningkatkan hubungan ekonomi dan diplomatik dengan negara-negara berkenaan.

“Apa yang beliau lakukan secara peribadi saya tidak tahu. Saya hanya tahu kemudian.

“Beliau dikatakan mempunyai kapal mewah, pesawat peribadi, kuat berparti dan sebagainya tetapi saya tidak terlibat.

“Malah saya tidak tahu langsung sehinggalah perkara tersebut didedahkan kepada umum.

“Hubungan saya dengan Jho Low adalah hubungan profesional kerana saya lihat beliau boleh membawa nilai pelaburan dari Timur Tengah ke Malaysia, di samping meningkatkan hubungan ekonomi dan diplomasi,” katanya.

Najib sebelum ini merupakan Pengerusi Ahli Lembaga Penasihat 1MDB.- MalaysiaGazette