KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Ngeh Koo Ham merupakan individu yang memiliki aset tertinggi dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan jumlah sebanyak RM75.82 juta.

Aset yang dimiliki oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pula berjumlah RM32.36 juta – tertinggi dalam kalangan jemaah Kabinet.

Manakala Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan asetnya berjumlah RM14.36 juta.

WhatsApp Image 2018-11-22 at 8.10.16 PM
Senarai barisan pemimpin Pakatan Harapan dengan jumlah pendapatan dan aset dari laman web https://mydeclaration.sprm.gov.my/

Paparan itu turut mendedahkan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik memiliki aset paling sedikit iaitu RM200,000 sahaja.

Maklumat jumlah aset anggota pentadbiran kerajaan dan Ahli Parlimen Kerajaan itu dipaparkan dalam Portal Pengisytiharan Harta https://mydeclaration.sprm.gov.my/.

Portal Pengisytiharan Harta yang dibangunkan SPRM itu disediakan untuk membolehkan perisytiharan harta oleh anggota pentadbiran dan anggota parlimen kerajaan dipaparkan kepada masyarakat berdasarkan kepada keputusan kerajaan untuk membuktikan ketelusan kepimpinan kerajaan.

Pada 1 November lalu, portal yang sama telah mendedahkan jumlah pendapatan bulanan.

Setakat malam ini, sejumlah 115 orang atau 89.8 peratus Ahli Parlimen kerajaan sudah mengisytiharkan harta dan 13 orang lagi masih belum berbuat demikian.

Antaranya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy dan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

WhatsApp Image 2018-11-22 at 8.12.41 PM

Selain itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga belum mengisytiharkan asetnya.

Selain Maszlee, menteri-menteri yang masih jauh daripada status jutawan ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun (RM72,000), Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Aziz Jamman (RM234,000), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dengan nilai aset (RM400,000), Mohamad Sabu (RM558,000), Marina Chin Abdullah (RM608,000), Syed Saddiq Abdul Rahman (RM 722,312) dan Dr Xavier Jayakumar (RM806,256)..

Sebahagian besar daripada senarai itu memiliki aset bernilai jutaan ringgit.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin pula mengisytiharkan hartanya sebanyak RM7.91 juta, menjadikan beliau menteri wanita memiliki harta paling banyak.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Deo (RM11.6 juta); Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamaruddin Jaffar (RM11,373 juta) dan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof (RM23, 075 juta).

Menteri Hal-Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula mendedahkan asetnya yang bernilai RM1.705 juta. – MalaysiaGazette

Patutnya gaji saya lebih besar dari Guan Eng -Tun M

Netizen tanya SPRM: Ini portal isytihar harta atau pendapatan?