Dr Abdul Rahman Osman

KUANTAN – Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman menegaskan bahawa tiada semakan mahupun peluang seharusnya diberikan terhadap penyebaran ajaran Syiah di negara ini.

Menurutnya, fahaman kelompok itu jelas bertentangan dengan amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang menjadi asas masyarakat Islam di negara ini.

“Kita tidak perlu tunduk kepada sebarang desakan seperti menyuruh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan membatalkan fatwa Syiah sebagai menyimpang daripada ajaran Islam.

“Ini adalah penegasan bahawa masyarakat Islam di negara ini kekal berpandukan kepada al-Quran dan as-Sunnah serta mengamalkan Mazhab Syafie tanpa sebarang pertikaian atau penambahan yang mengarut,” katanya ketika ditemui Bernama di pejabatnya di sini hari ini.

Abdul Rahman dalam pada itu memaklumkan tiada kumpulan Syiah yang bergerak aktif di negeri Pahang dan laporan yang diterima hanya membabitkan amalan secara persendirian.

“Kita bertindak memberi nasihat agar individu terlibat tidak meneruskannya (ajaran Syiah) selain terus memantau rapi jika ada sebarang penyebaran ajaran itu di negeri ini.

“Mungkin ada yang kata Syiah masih Islam…memang ya mereka Islam dan kita tidak pernah melabelkan mereka kafir.

“Bagaimanapun, banyak hal dalam amalan agama telah mereka seleweng secara terang-terangan antaranya mereka mengkafirkan sahabat Rasulullah, menjamakkan solat menjadi tiga waktu sehari serta menghalalkan nikah mutaah,” katanya.

Tegas beliau lagi, penyebaran atau usaha ‘menghalalkan’ Syiah oleh pihak bertanggungjawab hanya akan memecahbelahkan masyarakat Islam di negara ini malah menyumbang kepada keadaan huru-hara.

“Saya mahu menasihatkan orang Islam agar tidak sesekali terjebak apatah lagi menyebarkan ajarah Syiah yang telah kita ketahui terpesong dan membawa kepada kerosakan terhadap kesucian Islam,” katanya.

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam pada 2 dan 3 Mei 1996, menetapkan umat Islam Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran ASWJ dari segi akidah, syariah dan akhlak. – MalaysiaGazette