Thinalan

KUALA LUMPUR – Sidang media oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berhubung insiden membabitkan Presiden MIC, Senator Tan Sri Vigneswaran baru-baru ini hanyalah satu cubaan bermotif politik.

Seorang peguam, Thinalan Rajagopalu berkata, perkara itu jelas terbukti menerusi penerbitan satu artikel selepas itu di beberapa laman web yang menyelar Vigneswaran dengan pelbagai gelaran, hasil tulisan kolumnis terkenal, Mariam Mokhtar.

Menurut beliau, artikel berat sebelah itu mengkritik Vigneswaran sebagai individu ego yang berang apabila tindakannya memasuki bilik menunggu VIP dihalang kerana tidak mematuhi kod berpakaian ditetapkan.

“Kenyataan dibuat Mariam mencerminkan ketidakmatangan beliau dalam menilai duduk sebenar perkara ini namun saya tidak berniat menyalahkan beliau sepenuhnya. Mariam sudah terlalu lama terbawa-bawa aliran pemikiran pembangkang yang menjadi pegangan selama ini hingga gagal melihat kebenaran.

“Apa yang menjadi tanda tanya ialah Mariam sebagai antara jawantankuasa pendukung gerakan BERSIH seharusnya mendaulatkan keadilan, maruah dan kesaksamaan untuk semua.

“Beliau seharusnya lebih arif dengan aspek perundangan tetapi dalam hal ini, membiarkan sikap kepartisan menguasai timbang taranya,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Thinalan menarik perhatian Mariam seharusnya menegur Anthony terlebih dahulu sebelum bertindak menyelar Vigneswaran sekali gus menjadikan seluruh keluarga presiden MIC itu sebagai bahan kecaman penyokong kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Semuanya dimulakan oleh Menteri Pengangkutan. Beliau memulakan tuduhan ke atas Vigneswaran, beliau menceroboh privasi Vigneswaran apabila menyiarkan rakaman video dalam sidang akhbar dan beliau juga menjatuhkan penghakiman ke atas Presiden MIC itu.

“Apakah Mariam sebagai pembela undang-undang tidak melihat perbuatan Anthony itu yang jelas bercanggah dengan prinsip keadilan undang-undang?” soalnya.

Thinalan berkata, sokongan berat sebelah Mariam terhadap Anthony pada dasarnya mencerminkan ketirisan beliau dalam mengadili insiden berkenaan secara telus dan terbuka.

Sesuatu insiden katanya, tidak boleh dinilai hanya berdasarkan sekeping gambar atau rakaman.

Justeru perbuatan Anthony dan Mariam adalah amat tidak beretika dan ia menggambarkan kualiti kepimpinan kerajaan PH.

“Sangat memalukan apabila Mariam boleh tampil dengan artikel seumpama itu semata-mata untuk mengecam pemimpin dari pihak pembangkang. Apakah beliau akan melakukan perkara yang sama jika insiden itu membabitkan pemimpin kerajaan PH?” katanya.

pjimage (1)
Vigneswaran dan Anthony Loke.

Thinalan turut menasihatkan Mariam bagi mendapatkan gambaran sebenar dari kedua-dua belah pihak sebelum bertindak menyiarkan artikel yang boleh memalukan dirinya sendiri.

Perbuatan Mariam dan Anthony jelas Thinalan, tidak ubah seperti ‘kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tidak nampak’ kerana gagal melihat kepincangan diri sendiri.

“Mereka cuba melumur najis ke muka orang lain tetapi tidak sedar mereka  ‘melondeh kain sendiri’ sehingga nampak segala isi,” katanya sinis. –MalaysiaGazette