Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bercakap kepada media selepas Majlis Perbincangan Meja Bulat Belanjawan 2019 -
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bercakap kepada media selepas Majlis Perbincangan Meja Bulat Belanjawan 2019 - "Perumahan Mampu Milik: Satu Keluarga Satu kediaman” di di Glenmarie Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 20 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR – Selangor dalam pembentangan Belanjawan 2019 hari ini menyatakan prestasi kewangan negeri disifatkan baik dengan kedudukan rizab semasa RM2.34 bilion pada 15 November lalu.

Menteri Besarnya, Amirudin Shari berkata, perolehan itu  termasuklah daripada pelaburan dipegang bagi ketiga-tiga Kumpulan Wang Disatukan berjumlah RM2.84 bilion.

“Pengurangan rizab semasa sebanyak RM503.12 juta berbanding akhir 2017 selaras dengan perancangan belanjawan diluluskan bagi tujuan mensejahterakan ekonomi dan kehidupan rakyat di Selangor.

“Belanja Pembangunan sudah mencapai tahap 74.76 peratus manakala Belanja Mengurus mencatatkan 75.18 peratus,” katanya, di Dewan Annex petang tadi.

Tiga Kumpulan Wang Disatukan itu adalah Akuan Hasil Disatukan, Akaun Amanah Disatukan dan Akaun Pinjaman Disatukan, pada 31 Disember 2018.

Ujar Amirudin, hasil kutipan negeri itu pada tahun lalu RM2.81 bilion iaitu RM666.38 juta (hasil cukai), RM1.93 bilion untuk hasil bukan cukai dan terimaan bukan hasil sebanyak RM214.62 juta.

Tambah beliau, sehingga 5 November  lalu, kerajaan negeri mencatat kutipan kutipan hasil RM1.79 bilion iaitu 79.55 peratus daripada anggaran hasil bagi 2018 sebanyak RM2.25 bilion.

“Diunjurkan pada 31 Disember ini, kerajaan negeri akan berjaya mengutip hasil berjumlah RM1.89 bilion bersamaan 84 peratus daripada sasaran RM2.25 bilion.

“Hasil cukai mencatatkan kutipan RM612.18 juta (95.24%), Hasil Bukan Cukai RM 30.07 juta (66.74%) dan Terimaan Bukan Hasil RM247.62 juta (115.91%),” katanya.

Selangor turut memperuntukan Belanja Mengurus dan Belanja Pengurusan masing-masing berjumlah RM1.28 bilion.

Amirudin dalam masa sama ketika pembentangan mencadangkan beberapa aspek yang digelar gugusan utama bagi memastikan negeri itu maju dalam bidang bidang ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Antaranya adalah Gugusan Industri Teknologi Tinggi dan ‘Science Park’, Gugusan Industri Aeropolis dan Aeroangkasa, Gugusan Industri Automotif dan Industri Sokongan bagi kawasan Serendah, Gugusan Industri Terpilih dan Industri Perkhidmatan, Gugusan Pendidikan dan Perikanan.

Gugusan Pendidikan meliputi kawasan Gombak, Serdang dan Hulu Langat termasuklah Gugusan Perikanan.-MalaysiaGazette