Datuk Seri Najib Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mendakwa kerajaan Pakatan Harapan hari ini bukan sahaja gagal menunaikan janji-janji manifesto tetapi sudah mula menghina rakyat.

Menurutnya,  Pakatan Harapan sebelum ini bersungguh-sungguh turun ke perkampungan Orang Asli untuk berkempen semata-mata mengejar undi sahaja.

Dalam kempen mereka, Pakatan Harapan berjanji kebajikan Orang Asli bakal diberi perhatian, malah bantuan juga lebih banyak berbanding Barisan Nasional.

Namun, dakwa Najib, kempen-kempen Pakatan Harapan tidak pernah ikhlas dalam memahami keperluan rakyat dan komuniti Orang Asli.

Najib berkata demikian bagi merujuk kenyataan Menteri Besar Perak baru-baru ini yang mahu budaya meminta minta dalam kalangan masyarakat Orang Asli dihapuskan sekiranya masyarakat itu mahu terus maju.

Menurut Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, masyarakat itu perlu turut berusaha dan mencari bidang alternatif untuk menaikkan taraf ekonomi mereka.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, kerajaan dahulu telah memastikan infrstruktur dan pembangunan kawasan Orang Asli sentiasa terbela.

Menurutnya, daripada lebih kurang 800 penempatan Orang Asli yang berdaftar, sebanyak 720 kampung ada akses jalan, 660 kampung terima bekalan elektrik, 701 kampung ada bekalan air bersih, lebih 18,000 unit Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dibina di kawasan pedalaman dan yang lain dalam pelbagai fasa pelaksanaan dan penambahbaikan.

Kerajaan BN juga menitikberatkan faktor pendidikan dalam kalangan Orang Asli kerana hanya melalui pendidikan mereka akan dapat keluar daripada kepompong kemiskinan.

Anak-anak Orang Asli ditempatkan di asrama penuh dan institusi pengajian tinggi.

Pada hari ini, katanya, terdapat sembilan anak Orang Asli berjaya sehingga peringkat doktor falsafah dan hampir 1,000 di pelbagai peringkat institut pengajian tinggi.

Setiap seorang yang berjaya memasuki universiti, Kerajaan BN memberi galakan dalam bentuk insentif one-off RM3,000, selain bantuan PTPTN.

“Belum lagi saya sentuh mengenai hampir 100 anak-anak Orang Asli yang dihantar melanjutkan pengajian di luar negara bawah tajaan Majlis Amanah Rakyat.

“Belum lagi saya menghuraikan lagi bantuan tambang pe­ngangkutan, makanan percuma dan kemudahan asrama kepada mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Najib menegaskan komuniti Orang Asli sentiasa cuba memajukan diri mereka dan dengan bantuan dan dasar yang sesuai, kesemua ini sudah tentu akan menggalakkan mereka dan membuka peluang untuk mereka meningkatkan taraf hidup. – MalaysiaGazette