Perubahan dalam harga sumber-sumber tenaga memberikan kesan secara langsung kepada mekanisme penetapan harga elektrik. Kita sedar bahawa kos bahan api akan disalurkan terus kepada tarif elektrik. Mari kita lihat kepada 4 isu utama yang memberi kesan secara langsung kepada jaminan bekalan tenaga dan kos tenaga elektrik.

ISU 1: OPEC DAN AMALAN KARTEL

Pada akhir tahun 2014, Pertubuhan Negara-negara Pengimport Petroleum (OPEC) yang merupakan sebuah pertubuhan kartel telah membuat keputusan untuk meningkatkan pengeluaran minyak mentah dan menyebabkan harga minyak mentah merudum.

Tetapi, pada akhir tahun 2016, OPEC pula telah membuat keputusan untuk mengurangkan pengeluaran minyak untuk meningkatkan harga minyak.

Ketidakstabilan harga seperti ini menyebabkan negara-negara seperti Malaysia terjejas dengan teruk dari segi ekonomi dan pembangunan sektor tenaga.

Tambahan pula, harga minyak yang rendah akan menyebabkan penjanaan elektrik daripada Tenaga Tidak Boleh Diperbaharui (NRE) menjadi lebih murah dan menyebabkan pelaburan dalam Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) menjadi lebih mahal secara relatif.

Situasi seperti ini boleh terjadi kepada mana-mana sumber tenaga dan teknologi yang berkaitan dengan sumber tenaga. Tindakan seperti ini adalah suatu risiko kepada jaminan bekalan tenaga kita.

ISU 2: RISIKO PASARAN IMPORT

Apabila kita mengimport sumber-sumber tenaga atau teknologi berkaitan, ia akan meningkatan risiko jaminan bekalan tenaga kita.

Sebagai contoh, kita tidak mempunyai sumber arang batu. Maka, kita akan dibelenggu oleh harga pasaran arang batu dunia dan harga yang ditetapkan oleh negara yang kita membeli arang batu ini.

Ketidakstabilan harga dan tindakan kartel (seperti apa yang dilakukan oleh OPEC) akan menyebabkan harga arang batu tidak stabil dan meningkatkan harga bahan api ini.

Tambahan pula, teknologi-teknologi juga boleh memberikan impak seperti ini. Walaupun negara kita mempunyai sinaran matahari yang berterusan, Malaysia tidak memiliki teknologi tenaga solar. Kita membeli teknologi sebegini daripada syarikat-syarikat negara asing.

Kekangan teknikal dan ekonomi yang ditetapkan oleh sesetengah pengeluar dan negara asal mereka masih menjadikan teknologi-teknologi mesra alam mahal untuk negara seperti Malaysia.

ISU 3: KETIDAKSTABILAN RINGGIT

Apabila kita mengimport apa-apa produk,perkhidmatan atau sumber, kita perlu menggunakan mata wang asing untuk membelinya. Sebagai contoh, di antara Januari – Mac 2014, harga arang batu adalah USD (Dolar Amerika) 79.55 setiap Tan Metrik (MT) iaitu RM 256.73/MT pada kadar tukaran 3.2273.

Bagi tempoh yang sama pada tahun 2016, harga arang batu telah menurun kepada USD 57.30/MT iaitu penurunan sebanyak USD 22.25/MT. Malangnya, harga arang batu adalah RM 243.43/MT pada kadar tukaran 4.2487. Ini bermakna walaupun berlakunya penurunan harga pasaran dunia pada waktu itu, kita di Malaysia masih tidak dapat menikmati penjimatan ini disebabkan nilai ringgit yang lemah.

Ini adalah satu lagi risiko kepada jaminan bekalan tenaga kita. Pada tahun 2018 pula, harga arang batu semakin tinggi dan nilai Ringgit pula masih lemah. Ini akan menyebabkan impak kos arang batu kepada tarif menjadi lebih tinggi dan membebankan.

ISU 4: SEMUA KOS BAHAN API DISALURKAN KEPADA TARIF

Semua kos bahan api yang dibelanjakan semasa proses penjanaan elektrik akan disalurkan kepada tarif.

Maka, ia adalah penting bagi Malaysia untuk mempunyai perancangan serta pelaksanaan penjanaan elektrik yang saksama dan bijak. Ia juga sama penting untuk memiliki loji-loji penjanaan tenaga yang lebih cekap kerana loji-loji lama membazirkan banyak sumber tenaga.

Selain daripada itu, apakah pendapat rakyat Malaysia tentang penggunaan RE yang lebih luas? Adakah rakyat Malaysia bersedia untuk membayar bil elektrik yang lebih tinggi untuk penggunaan RE?

Berdasarkan Kajian Jaminan Tenaga Kebangsaan (NESS) yang dijalankan oleh AWER, 13.08% rakyat Malaysia berkata mereka bersedia untuk membayar bil elektrik yang lebih tinggi untuk penggunaan RE yang mesra alam dan baki 86.92% berkata mereka tidak mahu membayar bil elektrik yang lebih tinggi untuk penggunaan RE.

Sebahagian daripada usaha untuk mengimbangi jaminan bekalan tenaga, akan tiba suatu masa di mana kos RE akan menjadi lebih berpatutan terutamanya apabila grid paritydicapai. Grid parity bagi RE boleh dicapai apabila kos penjanaan RE mencapai kos yang sama atau lebih rendah berbanding kos penjanaan NRE.

Tambahan pula, bahan api bahan api fosil akan habis suatu hari nanti kerana ia adalah sumber yang terhad dan tidak boleh dihasilkan semula dalam jangka masa pendek.

Maka, ia mungkin akan meningkatkan kos tenaga elektrik jika kita terus bergantung kepada sumber-sumber ini. Malaysia perlu menjelajah secara bijak ke dalam bidang sumber-sumber RE dan menjadi pemilik teknologi secara perlahan-lahan.

Piarapakaran S.
Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)