Nidzam Adzha Yusoff
Nidzam Adzha Yusoff

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) mengumumkan pelantikan bekas pengendali Kedah, Nidzam Adzha Yusoff untuk membantu jurulatih baharu pasukan itu, Zainal Abidin Hassan pada perlawanan musim hadapan.

Timbalan Presiden MUSA, Datuk Mohd Yusoff Mahadi yang membuat pengumuman itu berkata, pemilihan Nidzam selaku pembantu jurulatih Melaka United (MU) dilakukan sendiri oleh Zainal selepas berjumpa dengan pengurusan tertinggi pasukan itu sebelum ini.

Malah, Yusoff turut mengesahkan bahawa Nidzam sudah bertemu wakil MUSA beberapa hari lalu dan kontraknya dijangka akan diputuskan dalam masa terdekat.

“Saya terperanjat apabila nama Nidzam diutarakan oleh Zainal namun saya akui ini adalah satu gandingan yang mantap apabila dua nama besar bergabung untuk mengendalikan MU.

“Sebagai pengurusan, kami tidak menolak permintaannya kerana kita tidak boleh meletakkan individu sembarangan sebagai pembantu jurulatih. Sudah tentu Zainal memerlukan individu yang boleh bekerjasama dengannya.

“Kedua-duanya pernah membawa pasukan terdahulu merangkul kejayaan jadi saya optimis mereka mampu melakukannya bersama MU. Zainal meletakkan kepercayaan bahawa Nidzam mampu untuk membantunya mengemudi pasukan ini ke arah yang lebih baik,” katanya menerusi kenyataan.

Dengan gandingan dua nama besar di MU, sudah tentu penyokong menjangkakan sesuatu yang lebih baik daripada pasukan berbanding pencapaian mereka pada musim ini. – MalaysiaGazette