KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) merancang untuk memanggil bekas Perdana Menteri Najib Razak dan bekas Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy untuk membantu siasatan mereka terhadap laporan audit 1MDB oleh Jabatan Audit Negara.
Bagaimanapun, PAC akan terlebih dulu mengambil keterangan Ketua Audit Negara Madinah Mohamad pada 4 Disember, dan bekas Ketua Audit Negara Ambrin Buang pada 5 Disember ini.
Pengerusinya Ronald Kiandee berkata, nama-nama lain yang disebut dalam kenyataan Madinah (berkenaan laporan akhir audit telah dipinda) akan diputuskan kemudian, menurut laporan Malaysiakini.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi PAC, Wong Kah Woh pula mengesahkan Najib dan Arul Kanda memang ada dalam senarai awal saksi siasatan PAC.
Hari ini, Madinah mendedahkan Najib, Arul Kanda dan beberapa individu lagi terlibat dalam dakwaan meminda dan mengugurkan bahagian tertentu dalam laporan audit 1MDB pada 2016.
Antara nama yang disebut Madinah adalah Ambrin, bekas Ketua Setiausaha Negara Dr Ali Hamsa dan bekas ketua setiausaha sulit Najib, Shukry salleh.
Menurut Madinah, antara perkara yang dipinda adalah berkenaan kehadiran Jho Low dalam mesyuarat lembaga pengarah 1MDB serta penyata kewangan syarikat itu untuk 2014.
Setakat ini, siasatan PAC terhadap 1MDB terhad kepada laporan audit tersebut, memandangkan aspek lain dalam skandal itu sudah pun dibawa ke mahkamah.
Pindaan terhadap laporan audit ini didedahkan oleh Timbalan Pengerusi PAC Wong Kah Woh pada 29 Oktober lalu.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci, sebaliknya hanya mengatakan “kandungan yang hilang itu akan menjejaskan imej pentadbiran lalu”.
Keesokannya, Ambrin menafikan dakwaan itu dan berkata tidak tahu apa yang dimaksudkan Wong. – MalaysiaGazette