Seorang peniaga menyusun cili dan sayur-sayuran untuk dijual kepada pelanggan semasa tinjauan lensa MalaysiaGazette di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 14 JUN 2018
Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Taburan hujan yang tinggi telah menjejaskan hasil tuaian sayur-sayuran sehingga bahan makanan itu mengalami peningkatan harga berterusan sejak akhir Oktober.

Harga sesetengah sayur-sayuran malahan melambung secara mendadak pada kadar antara 100 peratus hingga 200 peratus.

Presiden Persekutuan Pekebun Sayur Malaysia Tan Soo Tiok berkata, sayur tanah rendah yang terjejas oleh musim tengkujuh termasuk timun, peria dan cili yang mengalami penurunan hasil sehingga 20 peratus.

“Sayur tanah tinggi juga tidak terkecuali daripada impak musim hujan apabila kubis, tomato dan daun ketumbar telah mengalami penurunan hasil tuaian sebanyak 10 peratus.

“Harga untuk sekilogram cili biasanya ialah antara RM3 hingga RM4, tetapi harganya telah melonjak kepada antara RM11 hingga RM12,” katanya kepada China Press.

Ujarnya, pergolakan harga bagaimanapun berbeza mengikut tempat dengan Johor mengalami kenaikan harga paling ketara kerana taburan hujan yang tinggi.

“Hujan di Kuala Lumpur secara bandingannya adalah kurang, tuaiannya adalah lebih tinggi, harganya justeru juga lebih stabil,” katanya. – MalaysiaGazette