SHAH ALAM – Selepas ditegur Menteri Besar Selangor, exco kerajaan negeri yang mengeluarkan kenyataan menyalahkan orang Islam sebagai punca pergaduhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Seafield USJ 25, dekat Subang Jaya awal pagi tadi menukar kenyataannya.
Bagaimanapun Ganabatirau Veraman hanya menukar ayat ‘orang Islam’ kepada ‘kumpulan tidak dikenali’ sahaja dalam kenyataannya.
Ganabatirau langsung tidak merasa bersalah dengan kenyataan berbaur hasutan sebelum itu bagaimanapun belum membuat sebarang permohonan maaf kepada orang Islam atas tuduhan melulu yang mencetuskan kemarahan ramai.
Beliau yang memegang portfolio Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang mengeluar status menuduh orang Islam sebagai punca pergaduhan itu beberapa jam selepas kejadian yang dilaporkan berlaku kira-kira jam 3 pagi itu.
Dalam status yang dimuatnaik menerusi akaun facebooknya Ganabatirau Veraman, beliau menyatakan ‘serangan oleh sekumpulan orang Muslim itu menunjukkan ada cubaan untuk mewujudkan ketidakharmonian dalam kalangan kaum yang hidup dengan aman sepanjang masa’.
Berikutan status itu, beliau dikecam netizen yang menyifatkannya sebagai pemimpin rasis dan sengaja mencetuskan rusuhan kaum yang lebih buruk lagi.
Menyedari anggota exco berkenaan melakukan kesilapan, Amirudin Saari segera mengeluarkan kenyataan ‘menegur’ pemimpin itu tetapi pada masa sama mempertahankannya dengan mendakwa Ganabatiran mempunyai kesilapan dari segi penggunaan tatabahasa.- MalaysiaGazette