KUlasegaran
Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran bercakap kepada media selepas menghadiri Majlis Life At Work 2018 Awards di Nexus Bangsar South, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 26 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memberi pengecualian cukai pendapatan individu sehingga 12 bulan pada tahun depan kepada golongan wanita yang layak yang kembali bekerja.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berkata, ia adalah langkah untuk menggalakkan kaum hawa itu menyumbang kepada pembangunan negara.

Katanya, program pengecualian itu akan dipantau dan diuruskan oleh Talent Corporations Malaysia Berhad (TalentCorp) menerusi program ‘Career Comeback’.

Kulasegaran menyatakan kesedihan terhadap kebanyakan kaum wanita di negara ini meninggalkan pekerjaan dan cenderung untuk tidak kembali bekerjaya, tidak seperti di Jepun dan Korea Selatan yang mengalami kemuncak berganda wanita kembali bekerja.

“Ramai wanita meninggalkan kerjaya mereka dan tidak berhasrat kembali atas dua sebab utama iaitu tanggungjawab menjaga anak kecil dan juga ibu bapa yang sudah menjangkau usia dan uzur yang memerlukan perjagaan rapi di rumah.

“Wanita merangkumi hampir separuh daripada tenaga kerja serta penyumbang utama kepada ekonomi negara.

“Maka kami berhasrat untuk meningkatkan penyertaan tenaga buruh wanita negara daripada 54.7 peratus pada tahun 2017 kepada 56.5 peratus menjelang 2020,” katanya selepas merasmikan Majlis Anugerah Life At Work 2018 di Nexus Bangsar South di sini.

Turut hadir pada malis itu ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Menurut Kulasegaran, pihaknya bekerjasama dengan kementerian tersebut dan Talent Corp untuk merealisasikan rancangan itu.

Sementara itu, Kulasegaran memberitahu, kerajaan mengalu-alukan hampir sejuta rakyat Malaysia yang telah berhijrah ke negara lain pulang dan menyumbang pembanguan pembangunan negara.

Katanya, beliau teruja sambutan masyarakat meminta ahli keluarga mereka yang berada di luar negara supaya pulang ke tanahair untk membangunkan negara ini atas semangat Malaysia Baharu dan Harapan Baharu.

“Kami harap mereka pulang menyumbang kepada negara kita,” katanya.

Dalam pada itu, Hannah yang menyokong kenyataan Kulasegaran dalam pengecualian cukai untuk wanita berkata, penyediaan tempat dan waktu kerja fleksibel serta amalan mesra keluarga antara kaedah yang dapat menggalakkan lebih ramai wanita kembali bekerja.

Katanya, bagi tujuan itu kerajaan telah mewajibkan penubuhan 50 buah pusat penjagaan kanak-kanak di semua agensi kerajaan bermula 1 Januari 2019.

Kata beliau, Kementerian Kewangan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM10 juta dalam Belanjawan 2019 bagi tujuan itu.

“Kita sewenang-wenangnya tidak boleh terus memaksa semua pihak termasuk sektor swasta supaya menubuhkan pusat penjagaan kanak kanak sebagai menjamin suasana kerja yang selesa.

“Kita jadikan sektor agensi kerajaan sebagai pelopor yang akan memulakan inisiatif berkenaan.

“Kita tidak memaksa swasta tetapi menggalakkan mereka supaya menunjukkan ia merupakan inisiatif terbaik yang boleh disediakan untuk kakitangan mereka di tempat bekerja,” katanya.-MalaysiaGazette