MOSCOW/KIEV – Rusia merampas tiga buah kapal tentera laut Ukraine di pesisir Crimea semalam selepas melepaskan tembakan dan mencederakan beberapa kelasi, langkah berisiko yang boleh mencetuskan krisis baharu antara kedua-dua negara.

Perkhidmatan Keselamatan Rusia (FSB) berkata, bot pengawal sempadannya telah merampas kapal-kapal tentera laut Ukraine di Laut Hitam dengan menggunakan senjata untuk memaksa mereka berhenti, lapor agensi berita Rusia seperti dipetik Reuters.

FSB berkata, pihaknya terpaksa bertindak kerana kapal kapal tersebut, dua kapal kecil artileri Ukraine dan sebuah bot tunda, telah memasuki perairan wilayahnya secara haram, cuba melakukan tindakan secara tidak sah dan tidak mengendahkan amaran berhenti ketika melakukan pelayaran dalam keadaan berbahaya.

“Senjata-senjata digunakan dengan tujuan untuk memaksa kapal perang Ukraine berhenti,” kata FSB dalam kenyataan yang diedarkan kepada media milik kerajaan.

“Berikutan itu, kesemua tiga buah kapal tentera laut Ukraine telah dirampas di perairan Persekutuan Rusia di Laut Hitam,”.

FSB berkata, tiga kelasi warga Ukraine mengalami kecederaan dalam insiden tersebut dan mereka telah mendapatkan rawatan. Nyawa mereka tidak berada dalam keadaan bahaya, katanya.

Dengan hubungan masih lagi tidak baik selepas Rusia merampas Crimea dan menyokong puak pemisah pro Moscow di timur Ukraine, insiden yang berisiko itu berpotensi melebarkan lagi konflik.

Ukraine menafikan kapalnya telah melakukan kesalahan, menuduh Rusia mengambil langkah ketenteraan secara agresif dan meminta komuniti antarabangsa menghukum Rusia.

Malis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu akan bermesyuarat bagi membincangkan perkembangan terkini atas permintaan Rusia dan Ukraine, kata diplomat. – Agensi